GEORGETOWN: Pengusaha restoran India Muslim di negeri ini turut berdepan dilema dalam usaha mencari pekerja tempatan terutama dalam kalangan anak muda meskipun ditawarkan dengan pelbagai imbuhan tambahan serta bonus.
Hampir majoriti anak muda tempatan terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tiada pengalaman bekerja sudah berani melontarkan permintaan luar jangkaan sebelum diterima bekerja.
Pengusaha Cafe Tea Kadai di Lebuh Queen, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor berkata, dia berdepan kesukaran mencari pekerja baharu di premisnya sejak Oktober tahun lalu biarpun pelbagai pendekatan dilakukan termasuk membuat hebahan menerusi media sosial.
Menurutnya, dia buntu dengan masalah yang dihadapinya berikutan hanya 20 peratus pekerja yang masih kekal dan sedia menggalas tanggungjawab sehingga ke hari ini.
“Sebelum ini, kita dengar ramai anak muda tempatan merungut apabila diberhentkan kerja, tiada gaji dan sukar diterima bekerja berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
“Tetapi kali ini, apabila sudah banyak peluang pekerjaan terutama di restoran, mereka pula yang dilihat memilih dan mahu kerja yang lebih senang tanpa terikat dengan masa.
“Saya terpaksa mengambil pendekatan menarik minat anak tempatan bekerja di kafe dengan menawarkan bonus RM500 dalam tempoh tiga bulan bekerja. Jumlah itupun tidak termasuk elaun tambahan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohamed Rizwan turut menyatakan kekecewaannya apabila tidak dapat memberikan perkhidmatan terbaik dan pantas kepada pelanggannya disebabkan masalah kekurangan tenaga kerja.
“Daripada 10 pengambilan pekerja baharu, hanya dua orang yang kekal dan saya terpaksa mencari pengganti baharu.
“Ada yang datang kerja hanya empat hari lalu berhenti selain ada juga yang kerap meminta cuti. Kami tidak mengenakan prosedur ketat, cuma mahu mereka mengikuti peraturan yang seperti tepati masa, bertanggungjawab dan komited.
“Bukan setakat ini, ada calon pekerja sudah berani membuat permintaan dan menanyakan perkara di luar jangkaan seperti enggan berpakaian seragam, mahu tempat kerja berhawa dingin, gaji maksimum dan sekadar ditugaskan untuk ambil tempahan,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengurus Restoran Nasi Kandar Raffee di Pulau Tikus, Mohamed Firdaus Mohamed Raffe memberitahu, dia pula terpaksa mendapatkan khidmat ejen mencari pekerja di Tawau, Sabah selain menggantung iklan kekosongan jawatan di hadapan premisnya.
“Saya beri bayaran berbaloi kepada ejen terbabit bagi membantu mendapatkan pekerja tempatan, namun sehingga kini masih tiada seorang pun yang berminat bekerja di restoran.
“Selain itu, saya juga berusaha mencari pekerja sehingga ke Sungai Petani, Kuala Muda dan Kuala Nerang di Kedah termasuk membuat hebahan di media sosial dan kumpulan WhatsApp,” ujarnya.
Beliau berkata lagi, kesukaran mendapatkan pekerja tempatan turut memaksanya menutup operasi perniagaan lebih awal iaitu pada pukul 10.30 malam.
“Mungkin kerja di kedai mamak tidak popular berbanding di restoran francais sehinggakan begitu payah untuk mendapatkan pekerja tempatan berusia antara 18 hingga 50 tahun.
“Apa yang hendak dimalukan sedangkan bekerja di restoran mamak juga berpeluang menikmati bayaran gaji yang tinggi serta kemudahan tempat tinggal,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE