Bantuan kepada usahawan mangsa banjir diperinci - Utusan Malaysia

Bantuan kepada usahawan mangsa banjir diperinci

NOH Omar (kanan) dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan akan memberikan geran bantuan kepada usahawan dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana termasuk perniagaan tidak formal yang menjadi mangsa dalam kejadian banjir baru-baru ini.

Pemberian tersebut adalah berasingan daripada bantuan kepada isi rumah seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI) bernilai RM1,000 dan keperluan rumah (RM2,500) sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pelaksanaan tersebut dijangka dilaksanakan seawal Mac sekiranya data lengkap mengenai mangsa banjir dalam kalangan usahawan diperoleh pada bulan hadapan.

“Seperti mana diumumkan Perdana Menteri, dalam usaha membantu usahawan yang terjejas, untuk itu, kita sedang meneliti mangsa bagi mendapatkan jumlah sebenar iaitu berapa ramai di Selangor, kalau ikut angka kita, kira-kira 70,000 ketua isi rumah (KIR) dan daripada jumlah tersebut berapa ramai usahawan.

“Jadi, angka-angka ini, kita hanya boleh dapat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan-persatuan peniaga untuk kita dapatkan angka-angka mangsa banjir untuk diserahkan bantuan kepada usahawan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor yang dipengerusikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan Majlis Tindakan Ekonomi secara asas bersetuju untuk membantu usahawan dengan memberikan geran khusus kepada mereka yang terlibat dalam perniagaan mikro dan tidak formal.

Noh menjelaskan pemberian geran tersebut adalah secara sekali (one-off) dan jumlahnya adalah bergantung kepada jenis perniagaan dan akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri nanti.

“Ada jumlah untuk kategori seperti industri mikro, kecil dan sederhana. Cuma sekarang kita sedang kenal pasti jumlah penerima. Bantuan tersebut adalah secara tunai, tak perlu bayar balik.

“Kalau usahawan, bantuan untuk keluarga mereka dapat, perniagaan mereka juga perlu dibantu yang mana kedai tenggelam, barang dan mesin rosak, kerajaan secara dasarnya akan berikan bantuan tetapi sedang dalam proses untuk kenal pasti di jumlah bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh negara,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya