Bakal gulung tikar kos insurans bas sekolah naik - Utusan Malaysia

Bakal gulung tikar kos insurans bas sekolah naik

SHAMSIAH Shamsuri dan suaminya, Rosli Jusoh menggesa syarikat insurans menyemak semula caj tambahan sehingga RM2,000 bagi setiap kenderaan yang dianggap tidak masuk akal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pengusaha bas termasuk van sekolah di ne­geri ini mendakwa bakal gulung tikar jika terpaksa menyediakan kos tambahan sehingga RM2,000 bagi setiap kenderaan untuk membaharui insurans dan cukai jalan mulai tahun ini.

Rata-rata mereka yang ditemui Utusan Malaysia di sini semalam menyifatkan caj tambahan oleh syarikat insurans adalah tindakan yang tidak ma­suk akal selain menindas.

Seorang pengusaha bas sekolah, Shamsiah Shamsuri, 49, berkata, perkara itu menambahkan lagi bebanan dan tekanan buatnya dan suami, Rosli Jusoh, 54, yang mengusahakan perkhid­matan itu lebih 20 tahun lalu.

“Sudahlah kami terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sistem penggiliran pelajar mengikut darjah serta tingkatan, sekarang terpaksa pula berdepan kenaikan kos tambahan insurans sehingga RM2,000.

“Kami berusaha tidak menaik­kan caj tambang bas tahun ini kerana memahami situasi ibu bapa yang kebanyakannya terjejas akibat Covid-19 termasuk yang diberhentikan kerja, di­sekat tempoh kerja lebih masa dan dipotong gaji,” katanya.

Menurut Shamsiah, dia juga perlu membayar ansuran bulanan van yang baharu dibeli awal tahun lalu dengan insurans sebanyak RM1,800 setahun.

Seorang lagi pengusaha van sekolah, Shamsul Ibrahim Ahmad Tajuddin, 51, tidak dapat memikirkan tekanan yang bakal dihadapi selepas terkesan teruk akibat PKP sejak dua tahun lalu.

“Kerajaan perlu bertindak membantu dan membela nasib pengusaha bas dan van sekolah. Jangan sampai ada pengusaha bertindak menukar warna kuning van sekolah kepada putih disebabkan desakan hidup.

“Kami hanya cari makan dan bukannya daripada golongan senang. Kami juga antara yang paling terkesan,” katanya yang terpaksa mengurangkan trip perjalanan ke sekolah.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan keluhan 21,000 pengusaha bas sekolah seluruh negara apabila terpaksa menyediakan kos tambahan RM1,000 ke RM2,000 sebelum menyambung semula insurans dan cukai jalan yang didakwa meningkat sehingga 200 peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya