JEMPOL: Prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir yang melanda tiga buah daerah di negeri ini, kedua-dua anakanda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menziarah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Palong 1 di sini hari ini.
Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan adindanya, Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz meluangkan masa hampir sejam beramah mesra dengan mangsa banjir selain turut menyampaikan sumbangan.
Bantuan seperti selimut, bantal dan tikar tersebut hasil sumbangan Yayasan Munarah dan Yayasan Keluarga Diraja Negeri Sembilan diberikan kepada semua mangsa banjir daripada 20 buah keluarga di PPS berkenaan.
Terdahulu, kedua-dua baginda turut meluangkan masa menziarah mangsa banjir di PPS SK Rompin di sini yang menempatkan seramai 124 mangsa banjir dari 29 buah keluarga.
Sementara itu, sepasang suami isteri, iaitu Ahmad Hairil Azmeir Abu Bakar, 41, dan Norhasihmah Nordin, 42, tidak menyangka menerima kunjungan daripada Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-’Abidin.
“Kami tinggal di Seremban, balik kampung sebab nak buat kenduri tapi tiba-tiba banjir dan kenduri terpaksa dibatalkan.
“Kami ditempatkan di PPS ini dan tidak sangka pula dapat bertemu sendiri dan beramah mesra dengan Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-’Abidin.
“Apabila kedua-dua putera raja datang menziarah, kami rasa terharu baginda sememangnya mementingkan rakyat jelata tidak kira dalam apa juga masalah yang dihadapi rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS SK Palong 1 di sini. -UTUSAN ONLINE