PETALING JAYA: AirAsia Group Berhad diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) selepas rayuannya kepada Bursa Malaysia untuk pelanjutan tempoh pelepasan ditolak.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, permohonan supaya tempoh pelepasan dilanjutkan sehingga selepas 7 Januari dan rayuan susulan keputusan Bursa Malaysia terhadap permohonan itu telah dikemukakan.
“Lembaga Pengarah ingin memaklumkan bahawa selepas pertimbangan wajar semua fakta dan keadaan termasuk semua representasi dan dokumen bertulis, Bursa Malaysia membuat keputusan untuk menolak rayuan tersebut,” katanya.
AirAsia mencetuskan kriteria penggantungan PN17 pada Julai 2020 selepas juruaudit luarannya, Ernst & Young PLT menerbitkan pandangan audit tanpa syarat dengan ketidakpastian material berkaitan penyata kewangan terauditnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember.
Syarikat itu turut mencetuskan kriteria ditetapkan menurut Perenggan 8.04 dan Perenggan 2.1(a) PN17 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia, apabila ekuiti pemegang sahamnya pada asas disatukan adalah 25 peratus atau kurang daripada modal sahamnya.
AirAsia mencatatkan kerugian dalam dua tahun kewangan terakhir apabila merekodkan kerugian bersih RM283 juta pada tahun kewangan 2019 dan RM5.89 bilion pada tahun kewangan 2020.
Saham syarikat itu adalah yang paling aktif diniagakan dalam dagangan awal hari ini.
Setakat 11.48 pagi ini, sahamnya menyusut 9 sen atau 12.75 peratus kepada 65 sen setiap saham dengan 2.80 juta sahamnya didagangkan.
Saham itu dibuka pada harga 67.5 sen dan mencapai paras terendah pada 55 sen. – UTUSAN