PUTRAJAYA: Malaysia berdepan risiko kepupusan Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri-negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan jika tindakan segera tidak dilakukan bagi konservasi Harimau Malaya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, lebih membimbangkan, spesies ikonik negara akan hilang buat selama-lamanya.
Justeru, kata beliau, Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) menggariskan Tindakan-Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun (2021 hingga 2030) melalui enam pendekatan.
Perkara itu hasil persetujuan menerusi mesyuarat pertama pasukan itu yang dipengerusikan Perdana Menteri dengan wakil kerajaan negeri dan Persekutuan berkaitan hari ini.
Menurut beliau, pendekatan pertama ialah melalui rondaan penguatkuasaan dan pengawalan melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta komuniti Orang Asli.
“Pendekatan kedua ialah pengekalan dan pengukuhan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan dan menghentikan sebarang kegiatan pencerobohan serta aktiviti pemburuan haram.
“Selain itu, meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040 selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, pendekatan lain ialah memperkasa urus tadbir berkesan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Perhilitan, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan (sebagai pusat kecemerlangan bagi konservasi ex-situ (dalam persekitaran sebenar) Harimau Malaya.
Kata beliau, instrumen kewangan inovatif diperkasakan sebagai tambahan kepada insentif kewangan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti yang sedia ada dan pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.
Beliau berkata, Kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan rakan strategik akan turut dilaksanakan.
“Penubuhan MyTTF merupakan kesepakatan dan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menangani krisis populasi Harimau Malaya.
“Ia menjadi platform rundingan bagi dasar, perundangan dan strategi negara untuk konservasi Harimau Malaya dan habitatnya,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan serius menangani isu populasi Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni di hutan negara yang kini direkodkan kurang daripada 150 ekor.
Antara lain, katanya, ia disebabkan kehilangan habitat dan sumber makanan akibat perubahan guna tanah, pemburuan serta perdagangan haram selain penularan virus canine distemper.
Beliau menjelaskan, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] telah dipinda dan diluluskan Parlimen pada 21 Disember 2021 untuk meningkatkan keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar termasuk Harimau Malaya.
“Melalui pindaan tersebut, denda maksimum ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun supaya dapat mencegah dan memberikan pengajaran sewajarnya kepada pelaku jenayah hidupan liar.
“Selain itu, terdapat peruntukan baharu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mengiklankan penjualan hidupan liar dalam talian,” katanya. -UTUSAN ONLINE