51 kenderaan milik pelanggan bengkel dikenakan kompaun - Utusan Malaysia

51 kenderaan milik pelanggan bengkel dikenakan kompaun

Majlis Perbandaran Sepang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sebanyak 51 kenderaan pelanggan sebuah bengkel dikenakan kompaun gara-gara pengusahanya gagal menjelaskan bayaran caj parkir di kawasan itu.

Pengusaha  bengkel sebelum itu telah bersetuju untuk membayar caj parkir tetapi tidak berbuat demikian dengan meletakkan kenderaan pelanggan di petak parkir awam.

Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, MPSepang tidak dimaklumkan berkenaan dengan status kenderaan tersebut.

“Sudah tentu pihak Majlis akan menggunakan budi bicara bagi membantu penempatan kenderaan yang terlibat dengan banjir dan tiada sebarang tindakan akan dikenakan kepada pemilik kenderaan. 

“Sebagai makluman, kesalahan yang boleh dikenakan kepada kenderaan yang diletakkan di atas kawasan lapang atau taman adalah mengikut kesalahan di bawah Seksyen 8 (1) Undang-Undang Kecil Taman, MPSepang 2005 dan boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM1,000. 

“Kenderaan yang dikompaun pada 28 Disember lalu  adalah terdiri daripada pelanggan bengkel di kawasan tersebut.  Pihak bengkel sebelum ini bersetuju untuk membayar caj parkir tetapi tidak  menjelaskan bayaran, maka dengan itu tindakan mengkompaun dikenakan,” jelasnya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada 28 Disember lalu, anggota penguat kuasa Unit Tempat Letak Kenderaan (TLK), MPSepang mengeluarkan kompaun kepada 51 kenderaan (kereta, motorvan) yang diletakkan di atas petak parkir dan kawasan lapang (tempat awam) Medan 120, BBST Business Park. 

Katanya, di Jalan 1 sahaja sebanyak 32 kompaun dikeluarkan atas kesalahan gagal mempamerkan kupon bayaran TLK.

“Tindakan kompaun ini kerana pemilik kenderaan dan pengusaha bengkel membaiki kereta gagal membayar caj TLK yang dikuatkuasakan pihak MPSepang. 

“Kompaun dikeluarkan kepada 51 kenderaan tersebut kecuali sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna putih kerana dikenal pasti berlumpur dan disyaki kesan daripada banjir. 

“Selain daripada itu, sebanyak tujuh kenderaan yang ditularkan turut dikompaun kerana gagal dikenal pasti sama ada kenderaan tersebut terlibat dengan banjir dan masih dilitupi embun,” ujarnya.

Tambah Abd Hamid,  kawasan tersebut juga pernah dijadikan tempat letak kenderaan buruk dan terbiar yang mana pihak MPSepang telah mengambil tindakan penundaan sebelum ini. 

Katanya lagi, walau bagaimanapun keadaan tersebut masih lagi berulang maka tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pihak terlibat. 

“Kawasan BBST ini adalah kawasan yang tidak terlibat dengan bencana banjir dan pihak MPSepang berharap tempat ini tidak dijadikan tempat longgokan kereta rosak dan terbiar. 

“Tindakan mengkompaun yang dilaksanakan pada 28 Disember lalu adalah sah dan teratur mengikut undang-undang,” tegasnya.

Menurutnya lagi, MPSepang bersedia memberikan pengecualian bayaran kepada pemilik kenderaan yang terlibat dengan banjir dan telah dikompaun.

“Sebarang pertanyaan pihak yang terlibat bolehlah berhubung dengan Unit Undang-Undang, MPSepang ditalian 03-83190200/300 (sambungan 230/296),” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya