Lima juta benih ikan dilepaskan ke sungai-sungai di negeri Perak - Utusan Malaysia

Lima juta benih ikan dilepaskan ke sungai-sungai di negeri Perak

AHMAD Hamzah (kiri) melepaskan benih ikan ke dalam Sungai Batang Padang di Kampung Dusun Muda, Tapah hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Jabatan Perikanan akan melepaskan lima juta benih ikan air tawar di sungai-sungai dalam negeri ini tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pelepasan benih ikan pelbagai spesies tersebut akan dilepaskan secara berperingkat sebaagai sebahagian daripada langkah kerajaan dalam menambah populasi ikan air tawar yang semakin berkurangan.

Katanya, ini memandangkan ikan sungai merupakan sumber rezeki kepada nelayan darat.

“Oleh sebab beberapa keadaan yang tidak dapat dielakkan populasi ikan air tawar semakin berkurangan terutamanya disebabkan kehadiran ikan-ikan yang tidak diingini berada dalam sungai dan kita harap cara ini akan dapat menambah populasi ikan air tawar,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan 10,000 benih ikan lampam dan terbul pada Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum Sungai Batang Padang, di Kampung Dusun Muda di sini hari ini.

Ahmad berkata, setiap tahun lebih kurang dua juta ekor benih ikan terdiri daripada pelbagai spesies dengan nilai hampir RM500,000 dilepaskan di negeri ini dengan sebahagian benih ikan itu adalah keluaran kementerian melalui peruntukan kewangan kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Lebih 3,000 tan ikan sungai didaratkan dengan nilai RM45 juta di Perak pada 2020,” katanya.

Ahmad turut menasihati orang ramai melaporkan sebarang aktiviti menangkap ikan di sungai yang menggunakan kaedah dilarang seperti menuba dan menggunakan bom yang boleh memberi kesan negatif kepada populasi dan spesies ikan sungai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya