41 sarang dadah dikenal pasti di Perak - Utusan Malaysia

41 sarang dadah dikenal pasti di Perak

MIOR Faridalathrash Wahid (kanan) menyampaikan surat penghargaan kepada penerima pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di PLPGU di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak mengenal pasti 41 kawasan panas di negeri ini yang menjadi sarang penagih dadah untuk melepaskan gian.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semua ketua polis daerah telah diarahkan memberi tumpuan kepada usaha-usaha menghapuskan sarang-sarang dadah yang terdapat di daerah masing-masing.

Katanya, jenayah membabitkan dadah khususnya aktiviti penagihan merupakan antara fokus penting yang digariskan Kontinjen Perak pada tahun ini.

“Lokasi panas ini ada di pelbagai tempat seperti kawasan perumahan dan ladang kelapa sawit. Bagaimanapun, kita telah kenal pasti lokasi yang berisiko dan akan cuba hapuskan supaya tiada lagi sarang dadah di negeri ini.

“Selain menghapuskan sarang dadah, kita juga menyasarkan untuk melakukan tangkapan berskala besar membabit sindiket dadah.

“Oleh itu, semua ketua polis daerah telah diarahkan supaya memberi tumpuan berkaitan perkara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini. 

Menurut beliau, dalam usaha membanteras jenayah dadah, pihaknya juga menggalakkan penglibatan orang ramai dengan tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat kepada polis. Saya berharap kerjasama ini akan diteruskan bagi kita memperhebatkan gerakan untuk menghapuskan kegiatan pengedaran dan penagihan dadah,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, Polis Perak merekodkan kutipan bayaran saman sebanyak RM18.1 juta dalam tempoh sebulan sejak 1 Disember lalu.

“Sebanyak RM1.89 juta bayaran saman diperoleh melalui kempen penawaran 50 peratus oleh Kontinjen Perak manakala tawaran diskaun 80 peratus pula merekodkan RM16.21 juta saman telah dibayar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya