SIK: Seramai 137 Ketua UMNO cawangan di Bahagian Sik di sini mengambil inisiatif mengumpul pelbagai jenis barangan keperluan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di Maran dan Bentong di Pahang.
Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, usaha yang dilakukan oleh Ketua-Ketua UMNO Cawangan itu adalah inisiatif mereka sendiri yang prihatin terhadap penderitaan mangsa banjir di negeri itu.
Menurutnya, selain itu, seramai 50 peserta yang mewakili Ketua-Ketua UMNO Cawangan itu turut melakukan misi kemananusian untuk meringankan beban mangsa banjir tersebut dengan membawa barangan barangan pakaian dan makanan di dua daerah berkenaan.
Katanya, peserta tersebut juga akan berada di daerah itu selama tiga hari bagi melakukan kerja-kerja pembersihan dan pendawaian elektrik di rumah-rumah mangsa banjir.
“Sebanyak 10 kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori yang membawa pelbagai barangan keperluan, kelengkapan pembersihan dan alatan pendawaian digunakan untuk menggerakkan misi bantuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Misi Bantuan Kemanusiaan UMNO Bahagian Sik, di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Puteri UMNO Bahagian Sik, Nur Khadijah Idris, 29, berkata, ahli pergerakan itu juga tidak ketinggalan mengumpul pelbagai jenis barangan terutamanya barangan keperluan wanita untuk diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan terlibat.
“Difahamkan keadaan dan keperluan mangsa-mangsa banjir belum mencukupi kerana mereka kehilangan dan kemusnahan barangan yang teruk sehingga tinggal sehelai sepinggang.
“Kami turut mengumpul selimut, sejadah, telekung, kain batik dan pelikat untuk diagihkan kepada mangsa banjir dan sumbangan ini dapat menggembirakan mereka,” ujarnya.
Ketua UMNO Cawangan RTB Padang Besar, Mukim Jeneri, Osman Jamaludin, 55, pula berkata, dia teruja dan gembira kerana dapat bersama-sama dengan rakan lain membantu mangsa banjir di negeri Pahang.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang banyak membantu dan berharap misi kemanusiaan ini tercapai matlamatnya,” katanya. – UTUSAN