SEREMBAN: Jahidah Nordin yang koma akibat dibelasah suaminya tetapi lelaki itu tidak mengaku bersalah, dijadual melahirkan bayinya menerusi pembedahan di Hospital Tuanku Ja’afar di sini hari ini.
Menurut adiknya, Fauziah Nordin, 40, setakat ini, belum ada perkembangan terbaharu yang dimaklumkan oleh doktor dan dia sekeluarga kini hanya mampu berdoa kepada Allah.
“Hanya mampu berserah kepada Allah sebelum kakak Jahidah menjalani pembedahan melahirkan bayinya esok.
“Kami semua akan menanti kakak dan baby balik dengan selamat insya-Allah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Selepas episod hitam yang menimpa Jahidah, Fauziah yang menggalas tanggungjawab menjaganya di Bandar Seri Sendayan di sini.
“Terima kasih kepada semua yang doakan dan bagi semangat buat keluarga kami dalam menempuh waktu-waktu sukar ini,” katanya.
Fauziah dalam pada itu turut berharap bapanya yang berada di Sabah serta adik beradik yang lain dapat bersabar menghadapi apa juga kemungkinan yang akan berlaku ke atas Jahidah dan bayi yang lahir nanti.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Jahidah yang sedang hamil dijangka bakal melahirkan bayi dalam kandungannya secara pembedahan hari ini.
Jahidah telah dimasukkan ke Wad Obstetrik dan Ginekologi, HTJ sejak 22 November lalu tetapi pihak keluarga tidak dibenarkan melawat kerana prosedur sangat ketat.
Doktor memaklumkan wanita itu bakal berhadapan pelbagai komplikasi seperti kesukaran pernafasan, pendarahan, jangkitan kuman, jantung terhenti dan kematian.
Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah, yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.
Jahidah pada mulanya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.
Pada 17 Jun lalu, suami mangsa, Rosmaini Abd. Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma dalam kejadian pada 4 Mei lalu.
Hakim V. M. Mabel Sheela membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dan menetapkan 25 Julai lalu sebagai tarikh sebutan semula dan kini proses perbicaraan membabitkan tertuduh masih berjalan. – UTUSAN ONLINE