PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau tapak kebakaran di Perumahan Awam Sri Johor, Cheras lewat malam tadi dan mengumumkan bantuan RM1,000 bagi setiap keluarga yang terlibat.
Beliau juga berasa sedih melihat kejadian berkenaan dan kagum dengan usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran.
“Cukup menghibakan. Waktu saya tiba di tempat kejadian, pasukan bomba dan penyelamat masih berusaha memadam kebakaran yang memusnahkan lapan unit rumah di flat berkenaan.
“Saya sempat menemui mangsa-mangsa yang terlibat dan memaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan menyediakan rumah yang baharu untuk mereka pindah dan duduki.
“Manakala penduduk dari 32 unit lagi di tingkat 1-3 akan ditempatkan sementara mendapat kelulusan jabatan bomba untuk berpindah masuk,” katanya.
VIDEO sidang akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Perumahan Awam Sri Johor, malam tadi.
Tiada sebarang kemalangan jiwa membabitkan kebakaran lapan unit rumah di tingkat empat Blok 31 Perumahan Awam Sri Johor, Cheras dekat sini malam tadi.
Difahamkan kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas yang bermula di bahagian tengah blok berkenaan sebelum merebak di keseluruhan tingkat.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kira-kira pukul 9.15 malam berhubung kejadian itu.
Menurut Komander Operasi Kanan, Nordin Pauzi berkata, sebanyak enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, BBP Pudu, BBP Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Keramat dan BBP Cheras dengan kekuatan 35 anggota dikejarkan di lokasi kejadian.
Katanya, setibanya jentera dilokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan lapan buah rumah yang 100 peratus musnah.
Tambah Ismail Sabri, dalam tempoh keluarga yang terlibat berpindah ke rumah baharu dan masuk ke rumah mereka semula, mereka akan ditempatkan dalam dewan berdekatan.
Katanya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyediakan keperluan seperti makanan dan lain-lain.
“Keluarga mangsa kebakaran juga akan menerima bantuan bencana sebanyak RM1,000. Sama-sama kita doakan agar mereka tabah menghadapi ujian ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE