Vale bawa sinar golongan memerlukan di Manjung - Utusan Malaysia

Vale bawa sinar golongan memerlukan di Manjung

ZARINA (tengah) bersama anggota Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia Parlimen Lumut menerima sumbangan mesin jahit daripada Vale. – IHSAN VALE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kehadiran syarikat Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd (Vale) di daerah Manjung nyata membawa sinar kepada pelbagai pihak dan golongan di daerah ini.

Ia kerana syarikat gergasi dari Brazil itu sentiasa bersikap ‘ringan tangan’ membantu mana-mana pihak yang memerlukan khususnya dalam kalangan komuniti Manjung.

Pengerusi Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia Parlimen Lumut, Zarina Mohamed Ekhwan berkata, syarikat itu banyak membantu ahli persatuan itu dalam menjana ekonomi serta meringankan beban hidup.

“Baru-baru ini, seramai 131 anak ahli persatuan kami menerima bantuan beg sekolah sekurang-kurangnya mengurangkan beban ahli dalam menyediakan kelengkapan persekolahan tahun depan,” katanya ketika ditemui di Seri Manjung.

Menurut Zarina, ketika sambutan Aidilfitri lalu, pihaknya menerima bantuan 350 pek biskut raya dan turut menerima bantuan 350 bakul makanan untuk diagihkan kepada ahli yang memerlukan, sebagai usaha memperkasa kesejahteraan golongan ibu tunggal di daerah ini.

Sebagai usaha menjana ekonomi pula, Vale turut menaja 10 ahli mengikuti kursus jahitan langsir, selain menyumbang 10 mesin jahit untuk digunakan ahli persatuan tersebut.

Jelasnya, penajaan kursus serta pemberian mesin jahit itu mampu memberi implikasi besar dalam melonjak ekonomi ahli yang kurang berkemampuan untuk mengambil tempahan jahitan.

Zarina memberitahu pihaknya juga sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Vale untuk terus menjalin kerjasama dalam memperkasa kesejahteraan dan ekonomi ahli persatuan seramai 384 orang itu pada tahun depan.

Menurutnya, antara beberapa program dirancang dengan penajaan Vale ialah mengadakan kursus masakan untuk majlis kenduri, kursus kemahiran komputer, projek penanaman cendawan serta projek pertanian.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih terhadap keprihatinan Vale dalam memastikan golongan ibu tunggal tidak terpinggir dan sentiasa mendapat pembelaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya