Mencari jalan untuk meneruskan kelangsungan hidup, Normawati Mahmood, 46, bersama suami, Adli Sulong, 50, menjalankan tiga perusahaan dalam satu masa.
Akui Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu, dia mengusahakan perniagaan memborong dan menanam sayur, menanam sayur kaedah fertigasi dan menternak kambing bagi menambah ekonomi keluarga.
“Saya memborong sayur di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kota Bharu, Kelantan dan dijual di sekitar Kemaman, Terengganu.
“Di samping itu, saya turut menanam lada merah dan mentimun dengan kaedah fertigasi tetapi perlu mengikut cuaca untuk mendapat penghasilan yang baik,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Kata Normawati, bagi menambah pendapatan, anaknya, Khairul Shazwan Azhar, 26, memberi cadangan untuk menternak kambing.
“Bermula dengan lima ekor kambing, kini hampir 30 ekor kambing yang diternak malahan permintaan juga semakin meningkat.
“Sekiranya pelanggan ingin dapatkan perkhidmatan perusahaan ditawarkan, boleh hubungi 011-1097 9180,” katanya. – UTUSAN