PETALING JAYA: UOB Malaysia sedia menyediakan bantuan termasuk pelbagai langkah seperti penangguhan pembiayaan dan pembayaran pinjaman, jumlah ansuran pembayaran balik bulanan yang dikurangkan dan lanjutan tempoh pembayaran balik kepada pelanggan terjejas akibat banjir.
Bantuan tersebut bertujuan meringankan beban kewangan pelanggan individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporat di mana punca pendapatan mereka terjejas akibat banjir atau yang mengalami kerosakan kepada harta benda dan barang kepunyaan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Kim Choong berkata, pihak bank memahami kesukaran yang dihadapi oleh ramai pelanggan akibat banjir dan akan menyesuaikan pilihan pembayaran balik serta langkah bantuan lain untuk memenuhi keperluan khusus setiap pelanggan.
Ujarnya, ia penting supaya mereka dapat mengurus keadaan kewangan mereka dengan lebih baik dan pulih dengan lebih cepat daripada bencana banjir tersebut.
“UOB Malaysia juga akan mengetepikan fi dan caj tertentu untuk perkhidmatan terpilih, seperti menggantikan kad debit dan kredit atau buku cek yang hilang atau rosak semasa banjir.
“Selain itu, bank juga akan mengetepikan caj pembayaran lewat kad kredit untuk pelanggan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan.
Bank telah menyediakan proses tuntutan di bawah elaun kesulitan banjirnya ke atas produk bankasurans terpilih yang ditaja jamin oleh rakan kongsi insuransnya.
Ini akan membolehkan rakan kongsi insurans memproses tuntutan dengan lebih cepat.
Pelanggan yang memilih program bantuan UOB Malaysia boleh melayari laman web uob.com.my untuk menghantar permohonan mereka secara dalam talian.
Pelanggan individu juga boleh menghubungi talian khusus bank yang beroperasi 24 jam di 03-2612 8121, manakala perniagaan kecil boleh menghubungi Talian Perbankan Perniagaan UOB di 03-2616 6800.
UOB Malaysia menggalakkan pelanggan menggunakan perkhidmatan perbankan digital, termasuk Perbankan Internet Peribadi UOB, Perbankan Internet Perniagaan UOB Plus dan aplikasi mudah alih UOB Mighty, untuk keperluan perbankan mereka. -UTUSAN