PERMATANG PAUH: Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang di sini mengorak langkah dalam usaha mengangkat martabat muzik tradisional ke peringkat lebih tinggi apabila memeterai perjanjian kerjasama dengan sebuah institut pendidikan muzik, Zai Music World (ZMW) School, baru-baru ini.
Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak bersetuju mendigitalkan muzik tradisional negara ke dalam satu aplikasi moden yang dinamakan e-Gamelan seiring dengan perkembangan terkini.
Rektor UiTM Pulau Pinang, Prof. Dr. Salmiah Kasolang berkata, aplikasi itu menawarkan pengalaman menarik kepada pencinta muzik selain mempromosikan genre muzik itu kepada warga asing yang ingin merasai sendiri pengalaman bermain alat muzik tradisional.
Ia khususnya, tambah beliau, ketika mengharungi era pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan mereka untuk ke satu-satu tempat.
Jelasnya, terdapat pelbagai kategori peralatan muzik tradisional yang boleh didapati dalam aplikasi yang boleh dimuat turun menggunakan telefon pintar itu dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu moden dan tradisional.
“Selain perincian mengenai peralatan muzik, turut dimuatkan dalam aplikasi e-Gamelan itu ialah penerangan tentang asal-usul sesebuah alatan tradisional.
“Saya menjangkakan aplikasi ini berpotensi membantu meningkatkan lagi tahap penguasaan pelajar terhadap muzik tradisional dan menambah pengetahuan mereka mengenai asal-usul sesuatu alat muzik itu,” katanya dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama itu yang diadakan di Melaka.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengetua ZMW School, Zainal Abbas dan Pengasas ZWM, Dr. Salasiah Abbas.
Kerjasama strategik itu akan berlangsung untuk tempoh dua tahun dengan memfokuskan kepada beberapa inisiatif yang telah dipersetujui secara bersama.
Dalam pada itu, Zainal juga senada dengan Salmiah dan menyatakan hasratnya untuk melihat muzik tradisional lebih berkembang dengan adanya aplikasi e-Gamelan
Katanya, e-Gamelan boleh dianggap sebagai salah satu daripada trend global untuk belajar pada masa depan dan penggunaan aplikasi itu dalam pendidikan perlu distrukturkan bagi menyelesaikan masalah pembelajaran.
“Sehubungan itu, kami mencadangkan kaedah e-Gamelan untuk pelajar, pendidik dan pengguna serta subjek ini diterapkan sebagai alat pembelajaran untuk apa-apa kaitan subjek yang ada dalam struktur pendidikan ketika ini,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE