Teroka Gua Kelam secara maya pertama di Malaysia - Utusan Malaysia

Teroka Gua Kelam secara maya pertama di Malaysia

AZMAN MOHD. YUSOF merasai sendiri pengalaman penggunaan VR di Gua Kelam, Padang Besar, Perlis semalam.- UTUSAN/SYED AZLAN HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR : Perlis terus memperhebatkan aktiviti pelancongan di negeri ini dengan terbaharu memperkenalkan perkhidmatan penerokaan gua secara realiti maya (VR) di Gua Kelam di sini sekali gus menjadi tarikan baharu kepada para pengunjung.

Menariknya, penerokaan gua secara VR itu adalah yang pertama di negara ini dan kedua di Asia Tenggara.

Setiausaha Kerajaan negeri, Azman Mohd. Yusof berkata, pelancaran perkhidmatan Gua Kelam VR itu bakal memberi pengalaman baharu kepada pengunjung.

Katanya, penerokaan gua secara VR itu adalah yang pertama di negara ini dan kedua di Asia Tenggara selepas sebuah gua di Vietnam turut menawarkan perkhidmatan sama.

“Penerokaan gua secara VR ini adalah hasil kerjasama Jabatan Perhutanan negeri dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin yang membuktikan kita mampu menghasilkan sesuatu yang menakjubkan.

“Apa yang membanggakan adalah kepakaran dan tenaga muda tempatan mampu menghasilkan produk terbaik berbanding Gua Son Doong, Vietnam yang mendapat kerjasama National Geographic, sebuah agensi ternama dalam pembangunan penerokaan gua secara VR itu,” katanya selepas selepas merasmikan program Digital Entertainment : Eksplorasi Gua Kelam II Secara Virtual Reality di sini, semalam.

Tambahnya, produk pelancongan itu mampu memberi peluang kepada  lebih ramai orang terutama mereka yang takut atau gerun memasuki gua secara fizikal untuk merasai pengalaman seperti berada di dalam gua. 

Katanya, kerajaan negeri turut melihat potensi beberapa lagi lokasi menarik seperti di kawasan hutan, bukit-bukau atau sungai untuk dilawati menggunakan teknologi VR.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan negeri, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni berkata, terdapat beberapa kelebihan melakukan eksplorasi Gua Kelam 2 secara VR.

Katanya, penerokaan Gua Kelam 2 secara fizikal memerlukan persiapan mencukupi disebabkan keadaan laluannya yang agak mencabar dan masa yang diambil agak panjang.

“Dengan adanya teknologi VR ini, ia memberi peluang kepada lebih ramai golongan masyarakat seperti warga emas atau orang kelainan upaya untuk merasai pengalaman penerokaan gua secara maya.

“Penggunaan VR akan menjadi alternatif kepada pelancong sekiranya laluan biasa ditutup atas faktor keselamatan namun pengunjung masih boleh melakukan penerokaan gua secara maya di galeri selain boleh menjimatkan masa,” katanya.

Jelasnya, buat masa ini, penerokaan Gua Kelam 2 secara maya itu hanya boleh dilakukan di galeri disediakan dan pihaknya turut merancang membangunkan aplikasi VR tersebut di Google Play dan orang ramai boleh mengaksesnya tanpa perlu datang ke Perlis.

Katanya, perkhidmatan produk pelancongan itu sudah dibuka kepada orang ramai dengan harga promosi bermula RM10 termasuk bayaran masuk ke Galeri Gua Kelam. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya