SEREMBAN: Susulan kejadian hujan lebat sejak petang semalam, satu kejadian tanah runtuh telah berlaku di Jalan Sendayan -Jimah, Port Dickson.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Nanda Maarof berkata, kejadian tersebut telah dikesan pada pukul 9 pagi tadi dan Pusat Kawalan Daerah (DCC) telah digerakkan bagi membantu dan memantau keadaan.
Ia sementara menunggu anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
“Difahamkan, kejadian tanah runtuh tersebut ekoran hujan lebat yang berlaku semalam. Hasil siasatan awal mendapati, jalan yang runtuh ialah jalan menghala daripada Jimah ke Sendayan.
“Segala perkembangan dalam pemantauan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, kedua-dua laluan ditutup daripada sebarang kenderaan bagi tujuan keselamatan dan pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif lain. -UTUSAN ONLINE