IPOH: Kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands hari ini menyebabkan seorang mangsa ditemukan maut akibat tertimbus dalam runtuhan.
Namun kerja-kerja mencari dan menyelamat turut menemukan sebuah lagi kenderaan iaitu Toyota Vellfire dalam timbunan tanah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, kenderaan itu dijumpai pada pukul.7.51 petang tidak jauh dari lori yang dipandu mangsa yang maut.
Setakat ini tidak diketahui jumlah dan keadaan mangsa dalam kenderaan Vellfire yang ditemukan itu.
Kejadian pada pukul 1.41 petang menyebabkan jalan ke Cameron Highlands ditutup kepada semua kenderaan apabila runtuhan tanah menutup sepanjang kira-kira 100 meter jalan.
Pemandu lori terbabit dikenali Muhammad Hafiz Hamdi, 31, yang dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Ipoh.
Ketika ini Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, daripada siasatan awal, lori itu dalam perjalanan membawa muatan sayur dari Cameron Highlands ke Ipoh.
Katanya, pasukan penyelamat berjaya mengesan kedudukan lori berkenaan dan usaha mengeluarkan mangsa tersepit sedang dijalankan.
Yang turut hadir, Pengerusi Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun dan Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman.
Menurut Mior Farid, pasukan penyelamat menggunakan dua buah jengkaut untuk mengorek tanah di lokasi kejadian
“Setakat ini, kita hanya terima laporan mengenai seorang mangsa yang dilaporkan oleh majikannya,” katanya.
Tambah beliau, bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digunakan untuk membuat rondaan udara dengan menggunakan dron.
“Kita mahu lihat keadaan pergerakan tanah dari udara. Kalau ada pergerakan, ia akan berbahaya kepada pasukan penyelamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE