PETALING JAYA: Anggota kumpulan V.E yang juga komposer dan penerbit lagu, Damian Mikhail, 43, kesal dengan segelintir individu yang masih mengambil ringan tentang risiko jangkitan wabak Covid-19.
Damian menerusi satu perkongsian di Instagram storynya berkata, dia tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang endah tak endah dan ‘malas’ membuat ujian saringan Covid-19 sebelum berjumpa individu lain.
“Saya hanya ingin mengingatkan. Covid-19 sangat berbahaya. Ramai orang meninggak dunia dan Covid-19 masih ada lagi di luar sana. Dengan varian baharu lagi.
“Saya ada anak. Saya rasa, antara engkau orang mungkin juga ada anak yang tidak boleh vaksin lagi.
“Saya sangat kesal dengan sesetengah orang ini. Ajak jumpa, meeting, untuk apa jua keadaan. Bila saya minta keputusan ujian saringan Covid-19, kena tunjukkan. Jangan katakan akan tunjuk esok tapi bila datang berjumpa engkau orang tak tunjuk. Memang saya balik lah. Engkau orang tak tahu hormat dan tak sedar betapa serius perkara ini, bongkak dan sombong dengan virus ini,” katanya.
Damian dalam perkongsian sama memohon agar semua individu menjaga keselamatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelak jangkitan.
“Ambil seriuslah. SOP kena jaga. Dan bila saya minta bukan sebab nak jadi orang yang rumit atau susah kerjasama.
“Tetapi ini melampaui batas. Engkau tipu dan lengah-lengahkan benda itu. Saya tidak lupa.
“Tolong ambil serius perkara ini,” katanya lagi.