ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri bersetuju supaya pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV) dijadikan jawatan kuasa tetap dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri bermula hari ini.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, ini bermakna peranan SV sebaris dengan agensi penguat kuasa dan jabatan kerajaan lain dalam jawatan kuasa tersebut yang dipengerusikan beliau.
“Buat masa ini, SV sudah mengatur gerak dengan mengumpul pelbagai barangan sumbangan yang disalurkan pelbagai pihak sebagai persediaan bagi menghadapi banjir luar biasa seperti yang berlaku di Selangor dan Pahang.
“Dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, kita turut bincang soal pasca banjir. Ini memudahkan SV menyusun serta mengumpul sumbangan yang diterima sebelum disampaikan kepada pihak yang benar-benar memerlukan.
“Segala peruntukan yang disediakan untuk hadapi banjir perlu mengambil kira peranan dan tanggungjawab yang bakal kita serahkan kepada SV,” katanya ketika melawat Sekretariat Sukma Malaysia (Sukma) Johor yang dijadikan tempat penyimpanan barangan sumbangan banjir daripada pelbagai pihak.
Hasni memberitahu, hasil mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan, semua agensi terlibat sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor, On Jabbar berkata, fokus SV pada fasa pertama ini iaitu sebelum banjir adalah untuk mengumpul barangan yang perlu digunakan mangsa sekiranya negeri ini dilanda bencana alam terbabit.
Beliau yang juga Penyelaras Misi Bantuan Banjir SV berkata, pada hari ini sahaja, sebanyak 20 syarikat yang beroperasi di Johor menghantar pelbagai barangan bernilai kira-kira RM400,000 untuk sumbangan.
“Bagi fasa kedua iaitu semasa banjir, kita akan melihat respon daripada Menteri Besar dan kita akan ikut prosedur. Kita bersedia untuk bertugas di PPS dan hantar bantuan bekalan makanan.
“Manakala untuk fasa ketiga iaitu pasca banjir, pastinya tertumpu kepada kerja-kerja pembersihan seperti yang kita laksanakan ketika membantu mangsa banjir di Shah Alam dan Hulu Langat di Selangor serta Bentong, Pahang,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE