KUALA TERENGGANU: Faktor usia tidak menghalang pasangan suami isteri warga emas dari Kampung Pasir Panjang di sini untuk menjadi sukarelawan banjir dalam misi bantuan ke Pahang.
Mohamad Ariff Moin, 74, berkata, dia dan isteri, Dayang Salbiah Ngah, 75, terpanggil untuk menghulurkan khidmat bakti kerana simpati dengan nasib penduduk yang kehilangan harta benda dalam bencana itu.
Katanya, aktiviti kesukeralawanan sememangnya sudah sebati dengan diri mereka kerana disertai sejak masih bergelar penjawat awam, hampir 40 tahun lalu.
“Walaupun dahulu masing-masing bekerja, tetapi, kita tidak pernah terlepas menyertai misi kemanusiaan sama ada secara berkumpulan atau bergerak berdua sahaja.
“Selain dalam negara, kami juga pernah terlibat sebagai sukarelawan membantu mangsa gempa bumi di Indonesia, beberapa tahun lalu,” katanya selepas majlis pelepasan Operasi Bantuan Pasca Banjir 2021 Pahang anjuran kerajaan negeri di sini, hari ini.
Kedua-dua pesara itu merupakan antara 650 sukarelawan yang digerakkan ke Mentakab dan Temerloh bagi membantu mangsa banjir di dua daerah berkenaan selama tiga hari.
Menurut Mohamad Arif, mereka berdua baharu pulang dari berkhidmat di Kuantan selepas terlibat dalam misi bantuan sama, hujung minggu lalu.
“Kira-kira 300 rumah terjejas banjir berjaya dibantu dari segi pembersihan dan bantuan bakul makanan. Memandangkan masih ramai penduduk yang terkesan, maka kami memutuskan untuk ke Mentakab dan Temerloh pula kali ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE