Silibus tinggi, KBAT: 'Pendidikan tidak boleh di takuk lama' - Utusan Malaysia

Silibus tinggi, KBAT: ‘Pendidikan tidak boleh di takuk lama’

ALIMUDDIN MOHD. DOM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tahap pendidikan di negara ini perlu seiring dengan kemajuan sistem pendidikan di negara maju agar tidak ketinggalan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) merupakan salah satu komponen untuk membentuk generasi hari ini mampu bersaing dengan perkembangan dunia revolusi teknologi.

Justeru, kata beliau, sistem pendidikan negara tidak boleh terus berada di takuk lama dengan masih mengekalkan silibus sebagaimana di tahun 1980an, dengan memperkenalkan aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bermula di peringkat sekolah tahap rendah.

“Tahap pendidikan kita semakin tinggi. Misalnya KBAT dulu tidak ditekankan sangat hanya diperkenalkan di peringkat menengah, tetapi sekarang sudah diturunkan di peringkat bawah.

“Aliran STEM sudah diperkenalkan di negara maju, unsur-unsur coding dan sistem pengkomputeran telah dimulakan dalam pendidikan negara barat, sekarang ini negara kita mula laksanakan secara berperingkat, ini adalah perkembangan baharu dunia pendidikan dan kita mesti ke arah itu,” katanya di sini semalam.

Beliau diminta mengulas luahan seorang ibu berhubung rasa bimbangnya terhadap latihan Matematik tahun satu sekolah rendah yang terlalu menggunakan KBAT dan terlalu sukar untuk diselesaikan anaknya.

Menurut ibu berkenaan, hal ini bukan sekadar rungutan daripada dirinya sendiri, sebaliknya turut menerima rungutan dalam kalangan ibu bapa yang lain.

Dalam hal itu, Alimuddin berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang dengan perkembangan silibus mata pelajaran semakin tinggi kerana guru-guru sudah terlatih untuk memberikan pemahaman kepada anak-anak.

Kata beliau, pihak Kementerian Pendidikan bahagian perkembangan kurikulum sudah membuat kajian dan sentiasa mengkaji sistem pendidikan di negara luar dengan membuat lawatan ke sekolah negara-negara maju dan mengambil apa yang terbaik untuk diperkenalkan di negara ini.

“Ini perkembangan baharu, ibu bapa perlu faham sistem pendidikan hari ini tidak sama dengan zaman mereka, pada masa ini ada ICT sistem coding dan sebagainya, ini cabaran baharu dunia pendidikan dan anak-anak mesti turut terlibat.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang, guru-guru telah terlatih dan sebagai ibu bapa perlu beri galakan kepada anak-anak bahawa ilmu sekarang perlu dikuasai kalau nak bersaing dan perlu belajar keluar dari kebiasaan, jika tidak kita akan ketinggalan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, rungutan ibu bapa berhubung silibus aras tinggi murid sekolah rendah mungkin ada asasnya dan munasabah.

Justeru, katanya, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahagian kurikulum perlu meneliti rungutan tersebut dan tidak ada salahnya jika membuat kajian semula silibus subjek teras dan mengambil tindakan seadil-adilnya.

Ini kerana kata beliau, perkara itu tidak boleh menjadi sebab murid-murid berasa bosan dan berputus asa untuk belajar lebih-lebih lagi memahami subjek matematik yang merupakan asas pelajaran utama.

“Pembelajaran mesti melalui proses penambahbaikan ilmu yang bermaksud memberi pelajaran sebenarnya iaitu tidak memberi tekanan kepada pelajar.

“Kita perlu menilai tahap kemampuan murid, kita tidak mahu awal-awal lagi anak-anak kita rasa bosan, kita sepatutnya memberi satu tarikan dan keseronokan kepada anak-anak,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, KPM perlu melantik kumpulan profesional yang bebas untuk meneliti rungutan tersebut dan mencari apakah kebimbangan ibu bapa itu ada asasnya supaya kemahuan anak-anak untuk belajar tidak ‘dimatikan’ sekali gus menjejaskan aspek pembangunan negara.

Menyokong pendapat sama, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jamalullail Abdul Wahab berkata, KPM perlu membuat penilaian rungutan ibu bapa itu ada asas atau sebailknya dan barulah melaksanakan perbincangan dari semasa ke semasa untuk meneliti semula sukatan mata pelajaran dengan mengambil kira semua pandangan pihak berkepentingan termasuk pakar pendidikan, guru-guru dan ibu bapa.

Kata beliau, langkah ini wajar bagi memastikan segala tindakan yang dibuat tidak bersifat syok sendiri dan memastikan kurikulum pendidikan sentiasa relevan dan sesuai sekali gus memberi kesan kepada masyarakat serta mencapai misi KPM dan negara.

“ini penting supaya kurikulum kita sesuai untuk dilaksanakan dan perlu diikuti semua pelajar tanpa mengira pencapaian akademik. Inilah konsep ‘pendidikan untuk semua’ untuk pastikan semua kurikulum relevan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya