[SIDANG DUN PERAK] Lebih 12,000 hektar tanah diteroka haram untuk pertanian - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN PERAK] Lebih 12,000 hektar tanah diteroka haram untuk pertanian

SAARANI Mohamad dalam Persidangan DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH:  Kerajaan Perak mengenal pasti kawasan seluas 12,032 hektar telah diteroka secara haram untuk aktiviti pertanian di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri menerusi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bersetuju untuk melaksanakan program pemutihan di kawasan tersebut dengan melupuskan 5,959 hektar kepada beberapa anak syarikat kerajaan negeri.

“Daripada jumlah 5,959 hektar itu, sebanyak 3,930 hektar telah diberi pajak sewa kepada pengusaha (sedia ada) untuk melakukan aktiviti pertanian, penternakan dan perikanan.

“Sementara baki 2,028 hektar akan dipertimbangkan untuk tindakan penguatkuasaan dan proses pelupusan lain selepas penilaian selanjutnya,” katanya ketika menjawab soalan lisan Dr. Ko Chung Sen (PH – Kepayang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Menurut Saarani, sebanyak 6,073 hektar tanah lagi yang dikenal pasti diteroka secara haram di seluruh negeri kini sedang dalam proses pemutihan oleh pentadbir tanah di peringkat daerah masing-masing.

Jelasnya, antara proses pemutihan dilakukan di kawasan tersebut seperti mewujudkan sistem pertanian berkelompok, mengeluarkan lesen pendudukan sementara dan sebagainya.

Beliau memberitahu dianggarkan kira-kira 10,000 pengusaha sedia ada akan memperoleh sama ada hak milik, pajak sewa atau lesen di atas tanah yang mereka teroka itu.

Menurut beliau, sehingga akhir bulan lalu, sebanyak 6,000 permohonan telah berjaya dan sedang diproses untuk program pemutihan tersebut.

“Anggaran hasil yang dapat dikutip kerajaan negeri hasil program pemutihan ini ialah RM259,653 iaitu kutipan cukai tanah bagi kawasan yang diteroka secara tidak sah untuk pertanian sebanyak RM262,779 dan penternakan (RM6,875),” ujarnya.

Mengenai rungutan kira-kira 100 peneroka haram yang mengusahakan pertanian di kawasan seluas 400 hektar di Chemor dan Kanthan dekat sini, yang diarahkan berpindah dalam tempoh terdekat, Saarani berkata, kawasan tersebut telah dizonkan sebagai kawasan perindustrian.

Justeru, ujar beliau, kawasan tersebut tidak boleh dilakukan aktiviti pertanian tetapi kerajaan negeri telah menyediakan kawasan lain yang sudah diwartakan sebagai tanah pertanian, untuk mereka berpindah. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya