Semua arahan tindakan perlu dari MKN - PM - Utusan Malaysia

Semua arahan tindakan perlu dari MKN – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan  Negara (MKN) akan mengeluarkan pengarahan kepada semua pihak berhubung tindakan-tindakan yang perlu dilakukan dengan segera berhubung bencana banjir ketika ini.

Perdana Menteri berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara yang dipengerusikan beliau hari ini sekali gus menetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tetap menjadi sekretariat utama pengurusan bencana dan mengendalikan semua penyelarasan. 

Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya sesuatu tindakan itu tidak dipatuhi, maka MKN akan mengeluarkan arahan lanjut. 

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk aktiviti pemulihan pasca banjir bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur yang rosak.  

“Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir sama ada yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, untuk membantu usahawan pula, pembiayaan kewangan diberikan  sehingga RM5,000 melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) tanpa faedah atau keuntungan dengan tempoh bayaran yang bermula hanya selepas enam bulan perjanjian pembiayaan  ditandatangani.  

Kata beliau, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersetuju menyumbang sebanyak RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani bencana banjir dan usaha pemulihan pasca banjir.

Beliau berkata, ia adalah peningkatan lebih 100 peratus berbanding jumlah RM25 juta yang  diumumkan semalam. 

 “GLIC dan GLC yang menyumbang ini termasuklah Petronas; Yayasan Petronas; Khazanah Nasional dan Yayasan Hasanah; Yayasan Sime Darby; CIMB; Celcom; Telekom Malaysia; Yayasan UEM; dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

“Dengan geran kerajaan sebanyak RM25 juta, ini bermakna dana untuk usaha menangani impak banjir dan pemulihan pasca-banjir adalah RM75.8 juta,” katanya. 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju memberikan dua bulan  pengecualian sewa kepada penyewa SME Bank’s  Entrepreneur Premises Complex yang terjejas akibat banjir. 

Katanya, kerajaan melalui SME Bank juga akan memudah cara permohonan penstrukturan  semula pinjaman yang terjejas akibat banjir.

 Selain itu, kata beliau, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk Pinjaman  Pemulihan Banjir melalui TEKUN Nasional. 

“Koperasi yang terjejas juga akan dibantu melalui Bantuan Kecemasan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga RM30,000,” katanya.

Ismail Sabri turut memberitahu, isu banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam perlu diselesaikan dengan kadar segera, justeru, beliau mengarahkan semua agensi mengatur kerja dengan lebih agresif untuk membantu mangsa banjir di sana.

Sehingga petang ini, katanya, sebanyak 41 bot, 16 lori serta aset-aset lain digerakkan ke Taman Seri Muda dengan kekuatan anggota pasukan  penyelamat seramai 321 orang.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menggerakkan segera 20 aset pam mudah alih ke kawasan yang terjejas, tambahan kepada empat buah pam sedia ada. 

“Ini bertujuan mengepam air dari kawasan yang mengalami banjir genang  (yang biasa dikenali sebagai banjir termenung) ke sungai yang  berhampiran. Pam-pam tambahan yang diperoleh daripada pelbagai agensi termasuk yang dimiliki JPS Selangor akan digunakan untuk mengalirkan air genang ke Sungai Kelang,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut bersetuju dengan cadangan supaya  beberapa bahagian benteng sungai dipecahkan atau ditebuk buat sementara untuk mengalirkan air genang segera keluar ke sungai dan lokasi penebukan sedang dimuktamadkan. 

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan mengalu-alukan sekiranya ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir  tetapi perlu merujuk kepada Pusat Pengurusan Bencana Daerah terlebih dahulu. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya