HONG KONG: Saham Chinese Estates Holdings Ltd. menjunam selepas syarikat itu gagal mendapat sokongan yang cukup daripada pemegang saham untuk menukar penarafan syarikat tersebut kepada persendirian.
Firma hartanah yang merupakan sekutu lama China Evergrande Group itu jatuh sebanyak 35 peratus kepada AS$ 0.31 (RM1.31) selepas minoriti pemegang saham menolak rancangannya untuk dibeli pada harga AS$0.51 (RM2.15) sesaham.
Menurut maklumannya kepada bursa saham, daripada 74 pemegang saham yang mengambil bahagian, sebanyak 64 pemegang saham mengundi tidak setuju dan membentuk 10.8 peratus daripada saham itu dalam kalangan pelabur.
Lapor Reuters, firma hartanah yang dimiliki oleh keluarga jutawan, Joseph Lau itu mengumumkan rancangan tersebut pada Oktober lalu apabila sahamnya jatuh di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesihatan kewangan Evergrande.
“Lau dan Pengerusi Evergrande, Hui Ka Yan, mempunyai sejarah hubungan perniagaan yang panjang. Chinese Estates adalah pemegang saham utama Evergrande sebelum mengurangkan pegangannya pada Ogos lalu dan berkata ia mungkin akan menjual semua sahamnya dalam syarikat pemaju yang sarat dengan hutang itu.
“Syarikat itu berkata ia menjangkakan kerugian sebanyak AS$1.4 bilion (RM5.91 bilion) jika bertindak menyingkirkan keseluruhan pegangannya dalam Evergrande,” katanya.
Solar Bright, sebuah syarikat British Virgin Islands yang dimiliki oleh isteri Lau, Chan Hoi-wan, telah menawarkan untuk mengambil alih Chinese Estates secara persendirian. Keluarga Lau dan pihak berkaitan yang memegang lebih 78 peratus saham syarikat tidak membuat undian.
Harga tawaran itu adalah 83 peratus melebihi harga penutup akhir sebanyak AS$0.28 (RM1.18) sebelum cadangan pensendirian diumumkan, tetapi diskaun 55 peratus kepada nilai aset bersih sesaham yang diselaraskan, menurut makluman pada bulan lepas. -AGENSI