Rumah kayu keluarga jadi kedai kopi - Utusan Malaysia

Rumah kayu keluarga jadi kedai kopi

MOHD DANIEL AZIZAN menyediakan kopi kepada pelanggan di Rumah Kupi di Mata Ayer, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang pemuda mengetengahkan idea kreatif dengan menjadikan rumah kayu milik keluarganya di Mata Ayer, di sini sebagai kedai kopi untuk menjana pendapatan dalam mengharungi tempoh mencabar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Berkonsepkan perniagaan dengan ala rumah kampung Melayu yang unik, perniagaan Mohd. Daniel Azizan, 25, mendapat sambutan memberangsangkan khususnya dalam kalangan peminat kopi di negeri ini.

Mohd. Daniel yang juga pelajar pembelajaran jarak jauh (PJJ) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam berkata, pelanggan menerima pembukaan Rumah Kupi yang dibuka Julai lalu walaupun berada di kawasan kampung dan rumah sendiri.

Katanya, pada awal perniagaan, dia hanya menyediakan khidmat bungkus bawa pulang namun selepas sebulan, ruang untuk pelanggan duduk di kedai dengan konsep klasik rumah kampung tersebut dibuka.

“Rumah ini sudah lama dan dibiarkan menjadi tempat meletakkan barang sahaja. Semasa waktu terluang dalam tempoh PKP tersebut, saya mengambil peluang mengemas dan memperbaiki apa yang rosak supaya dapat dijadikan kedai kopi.

“Alhamdulillah, walaupun kedai ini berada di rumah tetapi sambutan yang diterima agak baik. Ini kerana kopi adalah sejenis minuman yang mempunyai peminatnya tersendiri.

“Apabila peminat kopi mengetahui ada kedai kopi baharu, mereka mencarinya untuk mencuba tidak kira di mana sahaja tempatnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Pelajar jurusan pengurusan pelancongan tersebut memberitahu, dia mengeluarkan modal sebanyak RM5,000 termasuk membeli mesin kopi dan membaik pulih rumah tersebut.

Menurutnya, walaupun masih belajar, dia masih boleh membahagikan masa menjalankan perniagaan dengan bantuan seorang lagi pekerjanya.

“Bila saya ada tugasan yang perlu dilakukan, maka pekerja seorang lagi akan bantu untuk menjaga kedai pada masa itu.

“Pelanggan yang kami terima bukan sahaja dari Perlis, malah apabila rentas negeri dibenarkan ramai pelancong dari negeri lain yang datang ke sini bagi menikmati kopi yang disediakan oleh kami,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya