Pengalaman pulang ke kampung halaman bagi mendekatkan diri dengan keluarga mendorong pengusaha Ros Bakery, Rosniah Khamis, 44, mula berkecimpung dalam bidang bakeri kira-kira lapan tahun lalu.
Kata Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu, perusahaan dimulakan bagaimanapun hanya secara kecil-kecilan dari rumah, namun sekarang dia sudah mampu membina bengkel dan membuka kedai untuk menjual hasil bakeri.
“Sejak dulu lagi memang saya minat dalam bidang bakeri. Jadi, untuk memulakan perusahaan ini, saya cuba menghasilkan bun burger dan dijual kepada kenalan yang membuka gerai burger.
“Dari situ, saya mula mempelajari teknik untuk membuat bun berinti kacang hitam dan kacang tanah untuk dihantar ke kantin sekolah dan dijual pada harga 50 sen satu.
“Sambutan menggalakkan dari pihak sekolah di sekitar Kuala Penyu, Sabah, membuatkan saya yakin untuk membina bengkel dan kini pelbagai bun serta kek hari jadi dijual di kedai bakeri saya,” katanya.
Untuk tempahan, boleh kunjungi Facebook, Kak Ros Bakery atau hubungi 013-875 7843. – UTUSAN ONLINE