GEORGETOWN: Premis makanan serta lokasi pelancongan popular di negeri ini dijangka sesak sehingga awal tahun baharu ini memandangkan cuti persekolahan dilanjutkan sehingga 9 Januari dan 10 Januari 2022 bagi kumpulan A dan kumpulan B.
Rata-rata pelancong tempatan dilihat memenuhi lokasi tumpuan makanan popular seperti premis nasi kandar, gerai cendol dan ais kacang, air sarbat dan jeruk di Pasar Awam Chowrasta dekat sini.
Malah keadaan aliran trafik di pusat bandar sehingga ke kawasan Batu Ferringhi juga sesak sejak cuti sambutan Krismas hujung minggu lalu.
Apa yang menjadi kerisauan ialah terdapat segelintir pengunjung dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka dengan betul.
Malah, keadaan orang ramai yang beratur dalam keadaan bersesak-sesak di kawasan restoran serta kedai makanan popular juga menimbulkan kebimbangan orang ramai sekiranya berlaku penularan wabak Covid-19.
Seorang pelancong yang mahu dikenali sebagai Mohd. Abidin, 36, berkata, dia sanggup beratur panjang bersama rakan-rakannya semata-mata mahu merasai pengalaman menikmati nasi kandar di Pulau Pinang.
“Memang saya agak bimbang melihat keadaan orang ramai yang beratur panjang di kedai-kedai makan popular namun kami masih menjaga SOP.
“Ada juga yang enggan mematuhi penjarakan fizikal ketika beratur, saya harap orang ramai lebih peka dengan keselamatan masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Seorang lagi pelancong tempatan dari Melaka, Anissa Idris, 29, berkata, dia mengambil kesempatan sempena cuti panjang akhir tahun untuk menghabiskan masa bersama keluarga di Pulau Pinang.
Dia yang tinggal di sebuah hotel di pusat bandar berkata, lokasi pelancongan popular di pusat bandar itu sentiasa penuh sejak cuti perayaan Krismas sehingga hari ini.
“Jarak antara hotel saya dan kedai-kedai makanan popular hanya beberapa minit sahaja, namun saya tidak sanggup beratur panjang.
“Saya hanya menggunakan perkhidmatan penghantar makanan ke hotel untuk menikmati menu istimewa Pulau Pinang itu kerana tidak mahu beratur,” katanya. -UTUSAN ONLINE