PETALING JAYA: Proton Wira yang membawa seorang ibu dan lapan anaknya termasuk seorang bayi 10 bulan dipercayai mengalami kerosakan di laluan kecemasan sebelum dirempuh treler dalam kejadian berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam di sini malam tadi.
Komander Operasi, PBKII Jaafar Abdullah berkata, maklumat awal mendapati kenderaan tersebut berhenti di laluan kecemasan di lokasi kejadian akibat rosak.
Katanya, ketika kejadian, bapa dan suami kepada kesemua mangsa berada di luar kenderaan tersebut manakala seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai mekanik sedang membaiki Proton Wira itu.
“Bagaimanapun, datang sebuah treler dari arah belakang sebelum merempuh Proton Wira tersebut serta kereta milik mekanik dan Perodua Axia yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
“Ibu dan lapan kanak-kanak serta mekanik terbabit meninggal di lokasi kejadian manakala bapa serta enam lagi mangsa selamat namun mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Jaafar, kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat.
Ujarnya ketika kejadian, 10 sekeluarga tersebut dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Shah Alam.
“Operasi menyelamat tamat pada 2.40 pagi dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam,” katanya.- UTUSAN ONLINE