KUCHING: PKR dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) paling banyak dikenakan kompaun setelah didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bermula 6 Disember lalu hingga semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail (gambar)berkata, sebanyak empat kompaun dikeluarkan terhadap PKR dan GPS, manakala seorang calon Bebas dikenakan kompaun dan dua lagi dikeluarkan kepada individu awam.
Secara keseluruhan, katanya, 11 kompaun telah dikeluarkan dengan nilai RM36,000.
“Pihak polis juga menerima 185 laporan polis dan membuka 71 kertas siasatan sejak bermula 30 November hingga semalam.
“Namun setakat ini belum ada lagi individu yang dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hari ini.
Jelasnya, kertas-kertas siasatan itu melibatkan perbuatan fitnah dan demonstrasi di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan menggunakan media sosial untuk menyebarkan berita palsu serta fitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Sementara itu, Aidi berkata, seramai 7,434 pegawai dan anggota polis akan bertugas pada hari mengundi esok.
Katanya, kesemua pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di 1,866 pusat mengundi meliputi 3,555 saluran di seluruh negeri Sarawak.
“Seramai 3,142 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) juga akan membantu anggota polis pada hari pengundian esok.
“Kami juga menubuhkan 47 pasukan Op Cantas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan 109 pasukan Op Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di semua daerah,” katanya.-UTUSAN ONLINE