ALOR SETAR: Polis Kedah merekodkan kutipan bayaran saman sebanyak RM5.281 juta sejak pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula Khamis lalu hingga semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah bayaran itu membabitkan sebanyak 106,571 saman setakat semalam.
“Penduduk di negeri ini mengambil peluang membayar saman trafik apabila mencatatkan kutipan bayaran bernilai RM 5,281,780 dalam tempoh tiga hari bermula Khamis lalu.
“Jumlah kutipan bayaran saman trafik itu dijangka meningkat apabila jumlah mereka yang beratur untuk membayar sama pada hari terakhir hari ini masih ramai ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan di Balai Polis Trafik Kota Setar di sini hari ini mendapati, orang ramai masih sanggup beratur panjang membayar saman trafik.
Malah, difahamkan terdapat dalam kalangan mereka yang beratur seawal pukul 7 pagi
Seorang pengguna, Shakinah Nordin, 40, berkata, dia tiba di pekarangan Balai Polis Trafik Kota Setar dan beratur untuk membayar saman pada pukul 11.30 pagi.
“Saya enam tunggakan bayaran saman berjumlah RM1,800 dan saya mengambil peluang daripada tawaran ini untuk menjelaskan bayarannya.
“Bagaimanapun tempoh tawaran itu patut dilanjutkan untuk memberi peluang kepada lebih ramai membayar saman tersebut memandangkan aplikasi yang disediakan bagi membayar saman tidak dapat diakses,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna, Yasmin Saad, 45, dia juga tidak mahu ketinggalan membayar satu saman berjumlah RM200 walaupun terpaksa beratur sejak pukul 9.30 pagi.
“Saya cuti hari ini, jadi saya ambil peluang membayar saman trafik itu kerana dapat diskaun 80 peratus,” katanya. – UTUSAN ONLINE