MELAKA: Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menolak usul tergempar berkenaan banjir jelas membuktikan kerajaan sedia ada tidak mementingkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, Parlimen dilihat lebih mengutamakan agenda mesyuarat berbanding tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.
Tegasnya, Parlimen adalah medan utama bagi membincangkan masalah rakyat serta mencari penyelesaian terhadapnya.
“Sepatutnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ketua kerajaan sendiri yang membuat usul tergempar berkenaan banjir ini. Malangnya usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen ditolak tanpa rasa malu dan segan.
“Malah, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri berkata, institusi Parlimen di negara ini sepatutnya mampu berfungsi dengan lebih baik berbanding apa yang ada sekarang,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamad menegaskan, tindakan menafikan usul tergempar di Parlimen bagi membahaskan kemaslahatan nasional paling mendesak dan paling meruncing, pada saat paling genting dan paling perlu, adalah tindakan sangat tidak sensitif, unparliamentary dan pengabaian tanggungjawab yang serius.
Beliau berkata, Parlimen adalah medan utama untuk semua kemaslahatan negara dan rakyat dibincang dan didebatkan.
“Ia bukan institusi pegun dan hanya berfungsi mengikut agenda mesyuarat rutin. Ia adalah institusi moral dan demokratik yang paling utama dalam hidup berbangsa dan bernegara.
“Parlimen mesti menjadi tempat paling penting untuk krisis yang melanda negara di rungkai dan dibincangkan oleh semua wakil rakyat.
“Dan ia juga tempat di mana kerajaan seharusnya menjelaskan segala tindakan, dalam kuasanya, untuk menangani segala krisis yang timbul,” katanya. -UTUSAN ONLINE