PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, kerajaan mempergiatkan operasi menyelamat mangsa banjir terutama di Taman Sri Muda, Klang kerana memahami kebimbangan yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir.
Menerusi laman Facebook rasminya, Perdana Menteri menggesa lebih banyak bot dan lori diturunkan ke lapangan bagi menyelamatkan mangsa banjir secepat mungkin.
“Saya memahami kebimbangan rakyat terhadap mereka yang masih terkandas dan seperti yang saya tegaskan, usaha menyelamat sedang giat dilipatgandakan.
“Hari ini, anggota penyelamat menggunakan lebih 41 bot dan 16 buah lori juga aset-aset lain bagi memindahkan penduduk yang masih terperangkap dalam bencana banjir di Taman Sri Muda, Klang.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyediakan makanan bermasak untuk dihantar ke rumah mangsa dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), manakala kerja menyelamat dilaksanakan tanpa henti,” jelasnya menerusi posting tersebut.
Setakat ini, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di lapan negeri di semenanjung terus menunjukkan peningkatan dengan hampir 50,000 mangsa sehingga jam 12.30 tengah hari tadi.
Laman sesawang info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa terjejas kini 49,866 daripada 14,469 keluarga. Mangsa kini ditempatkan di 400 pusat pemindahan sementara (PPS).
Ismail Sabri juga berkata, pemindahan lebih 500 mangsa banjir sudah bermula sejak Jumaat lalu dan ia melibatkan anggota pasukan Bomba dan Penyelamat dari balai bomba Shah Alam, Subang Jaya dan Puchong.
“Terima kasih kepada anggota-anggota pelbagai agensi yang sehingga kini masih berkerja keras tanpa henti.
“Saya juga berterima kasih kepada sukarelawan , badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli Keluarga Malaysia yang menghulurkan bantuan termasuk wakil rakyat. Saya akan terus memantau perkembangan ini dan terus berdoa semoga keadaan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya. -UTUSAN ONLINE