PETALING JAYA : Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan empat individu yang dipercayai mempersenda orang kurang upaya (OKU) menerusi video yang tersebar dalam media sosial telah tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Eng Lai berkata, dua daripada mereka tampil pada pukul 1 tengah hari tadi.
Manakala dua lagi individu masih memberi keterangan yang bermula 3 petang tadi.
“Mereka sedang dirakam percakapan di IPD Sentul.
“Kita akan melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi arahan selanjutnya.,” katanya ringkas.
Terdahulu, polis mengesan empat individu termasuk dua wanita dipercayai mempersendakan golongan OKU dalam dua dua video yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu.
Ini susulan laporan polis dibuat seorang seorang wanita berhubung tindakan mereka yang turut dipercayai menyalahgunakan kemudahan OKU di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Menerusi video pertama dimuat naik menunjukkan dua lelaki yang berlagak sebagai OKU dan mempersendakan tempat letak kereta golongan tersebut.
Kedua-dua lelaki berkenaan turut mengajuk perbuatan OKU selepas berjaya meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta di situ.
Sementara satu lagi video memaparkan dua wanita telah menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak.-UTUSAN ONLINE