Tarikan utama negeri di bawah bayu, Sabah adalah keindahan alam semula jadi. Faktor itu mendorong Arleen Yadon, 46 mengusahakan perkhidmatan penyewaan bas mini dan van persiaran.
Pengusaha Syarikat Potong Enterprise itu memulakan perniagaan berkenaan sejak lima tahun lalu apabila permintaan perkhidmatan sewa bas mini dan van persiaran mendapat sambutan.
“Saya bermula dengan satu bas mini dan berkembang kepada perkhidmatan sewa lima van pelancong.
“Hampir setiap hujung minggu dan musim percutian kenderaan sewaan saya ditempah oleh pelancong bahkan penduduk negeri ini sendiri,” katanya, ketika dihubungi.
Kata Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu, bagaimanapun perniagaan berubah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dibuat ketika pandemik Covid-19 melanda negara.
“Bagi menampung keperluan perbelanjaan hidup, saya mengambil langkah untuk menyewakan tiga van untuk dijadikan van pekerja dan dua lagi dijual,” katanya.
Untuk tempahan perkhidmatan sewa bus mini dan van pelancongan milik Sahabat AIM ini boleh hubungi 019-8318335. – UTUSAN