Perdana Menteri perlu campur tangan isu babitkan integriti SPRM - Utusan Malaysia

Perdana Menteri perlu campur tangan isu babitkan integriti SPRM

PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didesak untuk menyiasat dakwaan dibuat Prof. Dr. Edmund Terence Gomez terhadap seorang pegawai atasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan Terence Gomez meletakkan jawatan selaku Ahli Panel SPRM telah menimbulkan kebimbangan terhadap integriti agensi penguat kuasa tersebut.

Beliau turut mempersoalkan sama ada SPRM mampu terus menjadi sebuah agensi yang boleh membanteras rasuah secara adil, telus dan berkesan.

“Apakah isu yang menjadi punca letak jawatan tersebut iaitu ‘perniagaan’ dan ‘konflik kepentingan’ membabitkan pegawai atasan SPRM adalah benar dan berasas dan apakah SPRM terlalu kebal untuk disentuh. 

“Kalau semua pihak mendiamkan diri dan tidak berani membincangkan apa yang didakwa oleh Terence Gomez, maka, siapa lagi kalau bukan Perdana Menteri, Ismail Sabri wajar campur tangan.

“Perdana Menteri mesti ada keberanian untuk bertindak. Beliau juga tidak boleh bertindak lambat dan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’. Nasi tidak boleh jadi bubur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu turut membangkitkan persoalan berhubung isu kehilangan wang bukti kes 1MDB yang dirampas daripada bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

“Sebelum ini, negara dikejutkan apabila duit bukti kes 1MDB yang dirampas dari Datuk Hasanah didakwa dicuri oleh tiga Pegawai SPRM. Apa jadi pada kes tersebut.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Jangan ada ‘cover up’ tanpa ada tindakan. Isu yang dibangkitkan oleh Terence Gomez membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Jangan ada kompromi. Ia mesti disiasat secara total,” desaknya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya