JELEBU: Perdana Menteri menggesa supaya semua bantuan pasca banjir seperti pembersihan rumah yang terjejas dan membaik pulih infrastruktur disegerakan oleh pihak dan agensi terlibat.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun tiada sebarang tempoh masa ditetapkan, namun, beliau menegaskan perkara berkenaan perlu dipercepatkan termasuk kelulusan daripada pusat pengurusan supaya bantuan dapat diberikan di sesuatu kawasan.
“Saya difahamkan, daripada segi peraturannya, selepas banjir surut, untuk masuk balik ke rumah perlu memaklumkan kepada pusat pengurusan bencana sebab mereka akan pastikan dahulu kawasan itu selamat untuk dimasuki ataupun tidak.
“Harap perkara ini dipercepatkan, saya tidak mahu nanti kerana lewat memberikan kelulusan, ia akan jejaskan daripada segi kemasukan mangsa ke rumah masing-masing, jadi, kalau air banjir sudah tiada lagi, kebenaran boleh diberikan untuk mereka (mangsa) untuk balik ke rumah masing-masing.
“Saya sudah arahkan supaya agensi-agensi seperti bomba dan tentera, polis, serta majlis-majlis daerah yang mempunyai peralatan mencukupi supaya membantu percepatkan proses pembersihan. Kita tidak tetapkan jangka masa tetapi saya mahu kalau boleh, hari ini tiada lagi banjir, hari ini juga perlu dikeluarkan surat kebenaran dan juga pembersihan itu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan D’Sury, Kuala Klawang di sini hari ini.
Ia merupakan sebahagian daripada lawatan ke beberapa tempat di daerah ini yang turut terjejas teruk ekoran banjir yang berlaku baru-baru ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau juga mahu bantuan sebanyak RM1,000 yang diperuntukkan kepada setiap satu keluarga yang terjejas juga dapat disalurkan dengan segera.
“Saya tidak mahu pembayaran perlu mengambil masa lama, saya tidak mahu selepas diumumkan timbul isu nama tidak lengkap dan sebagainya sehingga mangsa lambat menerima, sedangkan banjir besar ini sesetengahnya (mangsa) sehelai sepinggang sahaja, habis musnah semuanya, jadi bantuan kewangan itu sangat diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bera itu berkata, secara keseluruhan keadaan banjir yang berlaku sudah semakin terkawal termasuk PPS yang sudah semakin banyak ditutup.
“Bagaimanapun ada beberapa buah negeri apabila air di hulu menurun jadi kawasan hilir pasti akan banjir dan saya harap ia tidak lama. Kalau hujan tiada lagi, cuaca semakin baik jadi air tidak akan bertambah, banyak negeri seperti itu,
“Cuma tadi kita bincang (mesyuarat khas bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri), kita tidak boleh terlalu selesa kerana bimbang berlaku gelombang kedua di satu dua negeri terutamanya di sebelah utara, saya harap boleh bersedia,” kata beliau. -UTUSAN ONLINE