Pengimbas wajah tidak menyalahi Akta Perlindungan Data Peribadi - Utusan Malaysia

Pengimbas wajah tidak menyalahi Akta Perlindungan Data Peribadi

KERATAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA 30 NOVEMBER LALU.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan pemaju apartmen Shaftsbury Putrajaya memasang Termometer Pengecaman Wajah (FRT) untuk menyaring kemasukan para penghuninya tidak salah.

Demikian penjelasan Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) kepada Utusan Malaysia berhubung laporan mengenai keluhan penduduk bangunan berstrata itu mewajibkan pengimbasan muka.

“Pemasangan FRT di situ bertujuan meningkatkan keselamatan premis dan kesejahteraan komuniti adalah tidak melanggar Akta PDP 2010 atau Akta 709,” katanya.

Ia mengulas laporan akhbar ini pada 30 November lalu yang mendakwa penduduk kediaman itu ditindas pemaju termasuk dihalau keluar jika enggan berkongsi data imej wajah mereka.

Jawatankuasa Penaja Persatuan Penduduknya turut mendakwa, pemaju sengaja berbuat demikian bagi menyekat penghuni daripada cuba menyewa unit kediaman kepada orang luar.

Langkah dikenakan di Blok A itu juga bagi menghalang kegiatan inap desa atau penyewaan sementara AirBnB yang boleh menjejaskan perniagaan hotel diusahakan pemaju di Blok B.

Mengulas lanjut, Pejabat Pesuruhjaya PDP menafikan tidak mengambil sebarang tindakan atas aduan penduduk malahan telah memanggil pengurusan bangunan itu pada 24 Mac lalu.

“Hasil siasatan mendapati pelaksanaan FRT itu adalah langkah tambahan selaras dengan Peraturan Kediaman Shaftsbury Putrajaya Residence,” jelasnya.

Pejabat Pesuruhjaya PDP juga kemudian melakukan pemeriksaan ke atas sistem data peribadi di bangunan itu pada 7 April lalu bagi melihat cara pemprosesan maklumat penghuni.

Usaha itu turut bertujuan menilai status pematuhan terhadap Akta 709 dan hasilnya beberapa syor penambahbaikan dikemukakan kepada pihak pengurusan apartmen servis itu.

Antaranya, mereka dikehendaki mempamerkan notis pemakluman berhubung apakah tujuan pemasangan FRT di kawasan terbabit agar penduduk kediaman tersebut lebih faham.

Pada masa sama, pihak pengurusan selaku pengguna data utama butiran penghuni tersebut juga hendaklah sentiasa mematuhi semua tujuh Prinsip PDP yang digariskan dalam Akta 709.

“Bagaimanapun, sebarang pertikaian mengenai penyelenggaraan dan pengurusan bangunan boleh dirujuk kepada pihak pengawal selia Akta Pengurusan Strata 2013,” ujar kenyataan itu.

Ini termasuk caj parkir untuk penduduk Shaftsbury Putrajaya yang didakwa sebagai tidak logik dan paling tinggi di Malaysia sehingga membebankan kewangan kepada penghuninya sendiri.

Sedangkan, ketika membeli kediaman itu, mereka dijanjikan kononnya diberi petak parkir secara percuma tetapi keadaan sebaliknya dan awal bulan ini, kadarnya melonjak 200 peratus. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya