Penarik beca tidak sabar tunggu operasi kapal persiaran - Utusan Malaysia

Penarik beca tidak sabar tunggu operasi kapal persiaran

PERKHIDMATAN kapal layar (cruise) dari Terminal Swettenham Pier Cruise yang kembali beroperasi 22 Disember ini turut dinantikan penarik beca di sekitar Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Perkhidmatan kapal persiaran dari Terminal Swettenham Pier Cruise di sini yang kembali beroperasi pada 22 Disember ini bukan sahaja dinantikan oleh peminat percutian di atas kapal, namun turut ditunggu lebih 100 penarik beca di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang, Abdul Latiff Mohd. berkata, sebelum ini pelancong-pelancong yang menaiki kapal pelayaran merupakan antara pelanggan utama perkhidmatan beca.

Bagaimanapun katanya, pandemik Covid-19 yang berlanjutan hampir dua tahun menyebabkan penarik beca kehilangan pelanggan utama sekali gus terputus mata pencarian.

“Boleh dikatakan dahulu jika ada kumpulan pelancong dari kapal layar yang singgah di Terminal Swettenham Pier Cruise mereka pasti akan menggunakan perkhidmatan beca untuk bersiar-siar di pusat bandar.

“Kami berharap dengan kembalinya operasi kapal layar ini akan dapat membuka rezeki kepada penarik beca yang lama menanti ketibaan pelancong kapal layar,” katanya di sini hari ini.

Selepas hampir 21 bulan tidak dapat beroperasi akibat pandemik Covid-19, perkhidmatan kapal layar (cruise) dari Terminal Swettenham Pier Cruise di sini kembali beroperasi pada 22 Disember ini.

Pelayaran pertama pasca pandemik itu melibatkan kapal persiaran Star Pisces yang dikendalikan Genting Cruise Lines dari Pulau Pinang ke Pulau Langkawi dan ke Selat Melaka.

Menurut Abdul Latif, penarik beca juga berharap pelancong yang menaiki kapal pelayaran akan menggunakan perkhidmatan mereka untuk bersiar-siar di pusat bandar kelak.

“Ada di antara pelancong yang kasihan melihat kami dan tidak mahu menggunakan perkhidmatan kami kerana kami sudah lanjut usia.

“Namun bagi kami penarik beca, lebih baik kami menggunakan kudrat sendiri daripada meminta-minta kepada orang lain untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Tambah Abdul Latif, pihaknya juga bersyukur kerana selepas rentas negeri dibenarkan jumlah pelancong tempatan yang menggunakan perkhidmatan penarik beca di pusat bandar turut meningkat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya