PETALING JAYA: Pengurusan Air Selangor Sdn.Bhd. (Air Selangor) memaklumkan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 38.8 peratus, setakat pukul 9 pagi tadi.
Air Selangor menerusi laman Facebook rasmi mereka memaklumkan, loji rawatan air (LRA) Semenyih 2, LRA Sg Langat dan LRA Langat 2 telah beroperasi sepenuhnya.
Menurutnya, bagi LRA Cheras Batu 11, proses pembersihan loji rawatan air dan penilaian kerosakan berikutan insiden banjir sedang dilaksanakan dan jangkaan untuk LRA itu beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini.
“Bantuan alternatif melalui tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
“Air Selangor juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Tambah Air Selangor, pihaknya akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.
“Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
“Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE