Keenakan pemanis mulut, buko pandan dari Filipina kini menjadi ikutan dalam kalangan penggemarnya membuahkan idea bagi Manzilah Zakaria, 20, dijadikan sebagai sumber pendapatan.
Menyasarkan jualan lebih 200 bekas seminggu, kata Sahabat AIM itu, dia pada mulanya hanya membuat buko pandan untuk dinikmati seisi keluarga.
“Buko pandan dihasilkan pada pertengahan tahun ini bagaimanapun mendapat sambutan dalam kalangan ahli keluarga yang mencubanya dan mereka menyarankan saya untuk mula mengambil tempahan.
“Rasa buko pandan yang berlemak, namun tidak terlalu manis, digandingkan dengan bahan seperti agar-agar, nata de coco dan isi kelapa dapat menyejukkan tekak, lebih- lebih lagi jika ia disimpan dalam peti sejuk.
“Ia juga sesuai untuk dijadikan sebagai pembuka selera bagi pelbagai acara majlis termasuk rumah terbuka, majlis keraian dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.
Katanya, buko pandan dijual pada harga RM5 untuk bekas kecil dan RM15 bagi bekas lebih besar dan untuk pelanggan sekitar Pahang, boleh hubungi 019-309 2621 dan boleh ke Instagram buko pandan ori. – UTUSAN