PETALING JAYA – Seramai 12 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bertuah selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudi menyerahkan surat tawaran kemasukan termasuk Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mereka di bawah Program ‘Jom Masuk IPT’
Penyerahan kepada pelajar terbabit diadakan sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam yang turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Antara surat tawaran yang disampaikan oleh Ismail Sabri adalah kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), politeknik serta kolej komuniti di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi.
Pada masa sama, Ismail Sabri turut menyampaikan sijil APEL.A oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan juga surat tawaran biasiswa daripada Universiti Mahsa.
Sementara itu, bagi seorang penerima biasiswa daripada Universiti Mahsa, Nurul Balqis Shahizan, 21 berkata, surat yang diterimanya ditujukan khas kepada arwah ayahnya yang meninggal dunia pada 29 September lalu.
“Saya tidak sangka dapat biasiswa ini dan paling terharu Perdana Menteri sendiri yang menyampaikannya. Terima kasih PM dan Kementerian Pengajian Tinggi kerana memilih saya untuk menerima biasiswa ini.
“Sekurang-kurangnya ringan sedikit beban keluarga saya kerana saya tidak perlu lagi bayar yuran pengajian kerana sebelum ini arwah (ayah) yang banyak berkorban untuk saya, ibu saya seorang suri rumah sahaja,” katanya kepada ketika ditemui pemberita semalam.
Bagaimanapun Nurul Balqis yang kini berada di semesta akhir dalam bidang Pengurusan Perniagaan, Universiti Mahsa tidak bercadang untuk melanjutkan pelajaran buat masa ini.
“Fokus saya ketika ini adalah untuk mencari kerja dan membantu ibu untuk menyara tiga adik saya yang masih bersekolah,” katanya.
Dalam pada itu, bagi seorang penghantar barangan, Muhammad Azim Nazran Zahari, 21, tidak menyangka impiannya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Diploma Teknologi Telekomunikasi dimakbulkan Allah SWT.
Lebih bermakna, kejayaan melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti Ampang itu diserahkan Perdana Menteri.
“Saya bersyukur impian melanjutkan pengajian dimakbulkan dan ini adalah langkah permulaan untuk menambah baik kehidupan keluarga.
“Pendidikan saja yang mampu mengubah nasib saya dan keluarga selain mahu meringankan beban ayah yang bekerja sebagai mekanik untuk menyara kami,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE