PUTRAJAYA: Meskipun berdepan pelbagai cabaran, Pelabuhan Klang di Selangor berjaya memecahkan rekod jumlah pengendalian kontena tertinggi dalam sejarah pengoperasiannya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sambil memaklumkan perkara itu berkata, sebanyak 13.64 juta TEU dikendalikan pelabuhan tersebut setakat semalam sekali gus berjaya mencapai prestasi cemerlang dengan mengatasi rekod pada 2019 iaitu sebanyak 13.58 juta TEU.
Kejayaan itu menepati ramalan beliau ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pengangkutan dan Logistik Antarabangsa Kuala Lumpur 2021 di sini pada 21 Disember lalu.
Pelabuhan Klang yang dibuka penjajah British sekitar 1890-an, ketika ini mengandungi tiga terminal berbeza dan merupakan pelabuhan ke-12 tersibuk di dunia dari segi kuantiti TEU.
Asalnya dikenali sebagai Port Swettenham sebelum diubah kepada nama sekarang pada 1972 lalu, ia kini termasuk dalam senarai 20 buah pelabuhan paling sibuk di dunia sejak 2003.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, sebahagian besar kejayaan itu hasil komitmen dan usaha bersepadu pemain logistik dan agensi kerajaan yang diterajui Lembaga Pelabuhan Klang dengan operator terminal iaitu Northport dan Westport terbukti menguruskan operasi dengan baik, malah, mengendalikan tambahan TEU dengan mengoptimumkan sumber sedia ada.
Pencapaian cemerlang itu, ujarnya juga dibantu peningkatan penggunaan pendigitalan untuk mengatasi pelbagai cabaran semasa seperti impak isu Covid-19 dan bencana banjir besar selain mengambil langkah proaktif bagi memudahkan sektor pelabuhan dan logistik ketika pandemik serta memastikan industri terus mara memenuhi permintaan pasaran.
Bagi pengguna yang memanfaatkan platform e-dagang, beberapa pakej rangsangan ekonomi telah diperkenalkan bagi mempercepatkan pengedaran dan penghantaran tempahan produk meliputi program vaksinasi khas untuk pekerja pelabuhan dan logistik sekitar Jun lalu yang memberikan jaminan perlindungan untuk operasi secara penuh.
“Dengan pembukaan semula ekonomi global secara berfasa tahun ini, jumlah kontena yang diuruskan Pelabuhan Klang memperoleh semula gerak momentumnya,” tegas beliau.
Biarpun insiden banjir baru-baru ini memberi kesan kepada operasi harian, beliau menjangka jumlah kontena bakal mencapai 13.75 TEU menjelang hari terakhir tahun ini pada Jumaat.
Tinjauan pertumbuhan bagi tahun 2022 pula tegas beliau, kekal optimistik memandangkan kelebihan daya saing dimiliki Pelabuhan Klang sebagai hab logistik terkemuka di benua Asia, bahkan dengan keupayaan purata 35,000 TEU sehari dan lokasi geografi strategik ditambah pula dasar proaktif kerajaan yang diharap mengukuhkan lagi industri logistik. -UTUSAN ONLINE