PONTIAN: Pelbagai cara dilakukan peniaga burger untuk mencari nama yang dapat menarik pelanggan, memandangkan semakin ramai golongan muda menceburi bidang perniagaan tersebut sebagai pendapatan tambahan.
Justeru, seorang peniaga makanan itu, Mohd. Hakim Tik, 43, memilih nama ‘Old Town Burger’ memandangkan perniagaannya dijalankan di Bandar Pontian Kecil yang dikenali sebagai ‘bandar lama’.
Katanya, perniagaan dijalankan di Lorong Cendol bermula dari pukul 7.30 malam sehingga 12.30 tengah malam dengan dibantu isterinya, Norazlina Mohamed, 40, serta anak-anak mereka.
“Lorong Cendol pada waktu siang menjadi tempat peniaga cendol serta peniaga kuih dan apam balik mencari rezeki. Ia lokasi popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pengunjung dari luar.
“Memandangkan pada waktu malam tiada aktiviti perniagaan dijalankan di sini, saya mengambil peluang untuk menjual burger sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Tambah Mohd. Hakim, sebelum berniaga burger, dia pernah menjalankan perniagaan menjual barangan dari Thailand seperti baju, tali pinggang, topi dan lain-lain di bandar Pontian.
Katanya, salah satu lokasi perniagaannya pernah terbakar sebelum ini dan berpindah ke lokasi lain bagi meneruskan kehidupan disebabkan ia adalah sumber rezeki keluarga.
Mohd. Hakim mempunyai lima anak dengan empat daripadanya masih bersekolah di tingkatan enam, tingkatan satu, darjah empat dan seorang lagi di peringkat prasekolah.
“Masih banyak perbelanjaan yang perlu disediakan kepada anak-anak dan perniagaan menjual burger ini sedikit sebanyak meringankan beban kewangan kami sekeluarga,” tambahnya.
Katanya, setakat ini, sekitar 20 hingga 80 biji burger boleh dijual setiap hari dan ada masanya mencecah sehingga lebih 100 biji burger sehari terutama pada hujung minggu atau cuti umum.
Sementara itu, walaupun berlaku kenaikan harga seperti patti daging dan ayam, sos serta roti, dia masih menjual dengan harga RM3.50 bagi burger ayam dan daging manakala untuk juadah burger istimewa pada harga RM4.50 sebiji.
Jelas Mohd.Hakim, ketika ini dia membeli 12 biji roti dengan harga RM3.20 sen manakala satu pek patti daging lembu berharga RM5.80 dan patti ayam pula berharga RM5.50 daripada pembekal tempatan.
Ujarnya, kos lain yang perlu ditanggung adalah harga sayur-sayuran seperti kubis, salad, tomato, nanas dan sos selain telur yang menjadi elemen penting dalam penyediaan burger yang pelbagai jenis. -UTUSAN ONLINE