Naib Presiden MIC saran perluas skop bantuan mangsa banjir - Utusan Malaysia

Naib Presiden MIC saran perluas skop bantuan mangsa banjir

MANGSA banjir membersihkan halaman kediaman mereka, selepas banjir melanda Seksyen 25 Sri Muda, Shah Alam, Selangor, Sabtu lalu. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah menyaran kerajaan agar memperluaskan skop bantuan kepada mangsa banjir yang terkesan di seluruh negara dengan mempertimbangkan moratorium, pengecualian bayaran bil utiliti dan cukai pintu mangsa banjir bagi tempoh enam bulan.

Beliau berkata, ini kerana pakej bantuan dan sumbangan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih belum mencukupi dengan kesan banjir dihadapi mereka yang terjejas.

“Perdana Menteri sudah mengumumkan bantuan RM100 juta bagi membaiki rumah rosak akibat banjir dan sumbangan RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas banjir di seluruh negara, namun, bantuan itu tidak memadai berdasarkan impak banjir yang sememangnya dahsyat kali ini.

“Maka, saya menggesa kerajaan agar memperluaskan skop bantuan kepada mangsa banjir, termasuk moratorium secara menyeluruh, pengecualian bayaran utiliti elektrik, air dan pengecualian bayaran cukai pintu serta tanah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.”

“Langkah ini akan memastikan golongan terbabit tidak terbeban dengan masalah kewangan yang dihadapi ketika ini, lebih-lebih lagi tatkala impak yang wujud akibat penularan Covid-19 sebelum ini pun masih belum reda,” katanya kepada pemberita, hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan hari ini.

Dalam pada itu, Murugiah turut menyampaikan bantuan awal berupa barangan makanan dan keperluan asas kepada hampir 400 mangsa banjir yang ditempatkan di dua buah PPS di sini.

Katanya, hampir 80,000 yang terjejas dan ditempatkan di PPS dan ramai yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah sama sekali. 

“Saya berkongsi simpati dan trauma yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir di seluruh negara apatah lagi rata-rata mereka akan memulakan kehidupan baharu, membina dari sifar apabila kembali ke kediaman mereka setelah air surut

“Kerajaan seharusnya meneliti saranan ini dan menyalurkan lebih banyak bantuan kepada mangsa banjir. 

Kurangkan kerenah birokrasi, pastikan tiada mangsa banjir yang terpinggir dari mendapat bantuan berkenaan,” jelas beliau.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN