Muhammad gembira MB Selangor segera bersihkan sampah banjir - Utusan Malaysia

Muhammad gembira MB Selangor segera bersihkan sampah banjir

MUHAMMAD Rosli (kanan) kongsikan gambar sampah yang bertimbun di tepi jalan dikumpulkan oleh penduduk Kampung Tengah selepas kawasan berkenaan dilanda banjir di Puchong, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Isu timbunan sampah yang dibangkitkan pasangan kembar iaitu Ahmad dan Muhammad Rosli, 23 mendapat reaksi positif Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Kenyataan salah seorang pasangan kembar  yang pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia pada 2001, iaitu Muhammad dalam Facebooknya sekali lagi menjadi tumpuan apabila membangkitkan isu timbunan sampah di kawasan rumahnya akibat banjir.

Menurutnya, dia berasa gembira dengan reaksi segera oleh Amirudin dalam media sosial untuk membantu menyelesaikan masalah timbunan sampah banjir di Kampung Tengah, Puchong di sini.

“Saya dihubungi pegawai Menteri Besar malam tadi yang meminta maklumat lanjut, hari ini kerja pembersihan dilakukan. Gembira lihat persekitaran kampung bersih.

“Bimbang juga ada penyakit sekiranya sampah dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Muhammad dan abangnya, Ahmad adalah pasangan kembar yang dilahirkan bercantum di bahagian dada sehingga pangkal paha sebelum dipisahkan pada September 2002.

Pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi ditaja Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

Muhammad berkata, semasa banjir berlaku minggu lalu, rumahnya dinaiki air kira-kira pukul 9 malam menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berteduh di loteng bengkel keluarganya.

“Ayah (Rosli Abdul Rahim) dukung saya dan abang ke atas, memang menakutkan kerana melalui arus deras selain angin kuat. Kira-kira pukul 4 pagi kami dibawa keluar menggunakan bot orang kampung,” katanya.

Banjir akibat hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 300mm, mengakibatkan banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Selepas banjir surut puluhan ribu tan sampah pukal akibat banjir dikeluarkan oleh mangsa-mangsa banjir dari rumah mereka yang menyebabkan bau busuk dan menyesakkan jalan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya