PETALING JAYA : Tiada gelombang kedua banjir dijangkakan berlaku pada masa terdekat ekoran ramalan kebarangkalian berlaku hujan berterusan di pantai timur Semenanjung adalah rendah.
Jabatan Meteorologi memaklumkan, Luruan Monsun yang diramalkan berlaku pada 27-29 Disember ini dengan kebarangkalian untuk berlaku hujan berterusan di pantai timur Semenanjung adalah rendah berikutan paras kelembapan udara yang rendah.
Namun, hujan berterusan berpotensi berlaku di Sabah timur dan Sarawak barat dalam tempoh tersebut.
Menurut jabatan itu, ramalan berkenaan berdasarkan analisis model European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF), Global Forecast System (GFS) dan METMalaysia Weather Research and Forecasting Model (MMD WRF).
“Berdasarkan analisis model itu, meramalkan berlaku luruan monsun pada 27-29 Disember dengan kebarangkalian berlaku hujan berterusan di pantai timur Semenanjung adalah rendah berikutan paras kelembapan udara yang rendah. Namun, hujan berterusan berpotensi berlaku di Sabah timur dan Sarawak barat dalam tempoh tersebut.
“Angin kencang dan laut bergelora diramal berlaku di perairan Laut China Selatan termasuklah kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung mulai 26-29 Disember 2021.
“Orang awam dinasihatkan merancang perjalanan ke kawasan-kawasan berkenaan dan sentiasa peka dengan maklumat terkini dan berwaspada,” kata kenyataan jabatan itu.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi memaklumkan Luruan Monsun adalah angin sejuk dari Siberia yang menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.
“Kita terus memantau keadaan cuaca 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan akan mengeluarkan amaran hujan berterusan dan amaran ribut petir bila keadaan perlu,” kata kenyataan itu. -UTUSAN ONLINE