MBSP bantu MPK, MBSJ selesaikan 70 peratus sisa banjir  - Utusan Malaysia

MBSP bantu MPK, MBSJ selesaikan 70 peratus sisa banjir 

CHOW KON YEOW (lima dari kanan) pada majlis pelepasan pasukan kedua untuk misi Bantuan MBSP di Selangor dan Pahang, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berjaya membantu Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyelesaikan kira-kira 70 peratus sisa banjir di beberapa kawasan yang teruk terjejas akibat bencana itu, baru-baru ini. 

Antara kawasan tersebut termasuk di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, Puchong, Taman Seri Muda Shah Alam, Taman Maznah, Taman Cempakasari, Taman Sentosa dan Taman Klang Utama. 

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, penyelesaian sisa banjir itu dibuat menerusi pendekatan ‘transit dan buang’ yang mana sampah pukal dikumpulkan di satu lokasi khas sebelum  diangkut menggunakan jentera MBSP. 

Katanya, kaedah itu terbukti berjaya menyelesaikan masalah pembuangan sisa banjir dengan lebih teratur dan cepat. 

“Pada masa sama, MBSP juga telah berjaya melupuskan sehingga 227.97 tan sampah yang terhasil akibat sisa banjir dalam tempoh enam hari membantu kerja-kerja pembersihan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sehingga semalam. 

“Pelupusan itu bagaimanapun tidak termasuk sisa banjir yang dibawa untuk pelupusan menggunakan kenderaan agensi lain dan swasta yang disertakan bersama kenderaan MBSP, ” katanya. 

Terdahulu, beliau mengiringi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menyempurnakan majlis pelepasan pasukan kedua Misi Bantuan MBSP yang akan membantu kerja-kerja pembersihan yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) serta Majlis Perbandaran Bentong (MPB) di Pahang untuk tempoh seminggu iaitu sehingga 6 Januari depan. 

Pasukan kedua itu akan menggantikan pasukan pertama yang dijangka pulang hari ini selepas seminggu membantu tugasan pasca banjir yang dijalankan oleh MBSJ dan MPK di Selangor. 

Difahamkan, pasukan kedua itu akan diperkuatkan dengan kehadiran dua pegawai, 13 pemandu serta 32 pekerja  menggunakan 11 buah kenderaan termasuk lori, van dan pacuan empat roda selain menggunakan pelbagai peralatan pembersihan yang boleh mempercepatkan kerja-kerja berkenaan.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya