KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) giat melakukan kerja-kerja pembersihan pokok-pokok tumbang yang menghalang beberapa jalan utama berikutan hujan lebat semalaman dan angin kuat sejak kelmarin.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporatnya, Norkamawati Kamal berkata, pihak MBK telah menerima kira-kira 97 aduan berkaitan pokok tumbang sekitar bandar Kuantan.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya berjaya menyelesaikan kira-kira 80 aduan khususnya membabitkan pokok tumbang.
“Berikutan hujan lebat dan angin kencang yang melanda Kuantan pada sejak 17 Disember lalu, sebanyak 97 aduan pokok tumbang telah diterima bagi seluruh bandaraya Kuantan.
“Jumlah aduan semakin meningkat dari masa ke semasa,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Norkamawati berkata susulan kejadian tersebut, Unit Tindakan Khas dari Jabatan Pembangunan Komuniti dan Perkhidmatan Perbandaran bersama Jabatan Landskap MBK mengambil tindakan drastik dalam menyelesaikan masalah tersebut.
Katanya, lapan kumpulan terdiri daripada 40 anggota bertugas bersama jentera bergegas ke beberapa kawasan aduan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan halangan laluan.
“Antara lokasi yang dikenalpasti terjejas teruk Kampung Belukar, Jalan Tun Ismail, Jalan Besar, Indera Mahkota dan Jalan Kuantan Bypass.
“Selanjutnya pihak MBK terus melaksanakan pembersihan kargo dan turut melakukan pemantauan berterusan,” katanya. -UTUSAN ONLINE